Persediaan Letak Jawatan Untuk Berniaga Sepenuh Masa

loading...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Majalah Niaga.

Sepanjang menjalankan program keusahawanan selama 3 tahun, kami mendapat banyak soalan daripada rakan-rakan usahawan mengenai persediaan yang harus diambil sebelum berhenti kerja dan fokus kepada bisnes sepenuh masa.

berhenti-kerja-makan-gaji-5

Rata-rata daripada mereka ini sudah memulakan bisnes  secara separuh masa selama 2 hingga 5 tahun. Pendapatan bulanan daripada hasil bisnes mereka kebanyakannya sudah melebihi gaji bulanan.

Kami sukar menjawab soalan ini kerana kami tidak pernah ada pengalaman makan gaji. Sejak dari zaman universiti kami sudah belajar berniaga secara kecil kecilan. Daripada bekerja, kami lebih senang berguru secara berdepan dengan orang bisnes dan aplikasikan ilmu diperoleh ke dalam bisnes kami.

Untuk menjawab soalan ini, kami pernah bertanyakan soalan serupa kepada salah seorang guru bisnes kami. Beliau mempunyai pengalaman bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama 11 tahun sebelum berhenti kerja untuk menjalankan bisnes sepenuh masa. Sebelum berhenti, beliau telah mengusahakan bisnes sendiri secara separuh masa selama 3 tahun.

Ini antara persediaan yang beliau kongsikan kepada kami.

#1 – Tabung simpanan selama 6 bulan

Senaraikan dan kira jumlah perbelanjaan setiap bulan. Jika komitmen peribadi kita sebanyak RM 2,000 sebulan, kita mesti mempunyai simpanan sebanyak RM 12,000 di dalam akaun bank.

Duit itu adalah duit tabung khas untuk komitmen peribadi, bukannya komitmen bisnes. Perbelanjaan operasi bisnes mesti dibayar daripada hasil bisnes yang dijalankan sekarang.

Ada 2 sumber untuk memenuhkan tabung ini.

Guna sebahagian duit gaji yang diterima daripada hasil keuntungan bisnes.
Guna gaji bulanan daripada majikan tempat bekerja.
#2 – Pendapatan bisnes menyamai gaji

Pendapatan bulanan daripada hasil keuntungan bisnes sekurang-kurangnya menyamai gaji di tempat kerja. Ini membolehkan kita mengatur perbelanjaan peribadi sama dengan kita mengatur perbelanjaan ketika kita masih bekerja.

Konsistensi pendapatan bisnes pula tidak boleh diukur dengan pencapaian sebulan pertama. Itu belum cukup untuk menjamin pendapatan yang sama pada bulan seterusnya. Ia harus dicapai sekurang-kurangnya 6 bulan berturut-turut.

#3 – Mempunyai perancangan bisnes yang rapi

Tetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Seterusnya, senaraikan pelan tindakan yang perlu diambil oleh diri dan ahli pasukan untuk capai matlamat tersebut. Matlamat jangka pendek merangkumi apa yang perlu dicapai dalam fasa 3 bulan hingga 6 bulan pertama bisnes diusahakan secara sepenuh masa. Sudah tentu ia berbeza dengan pelan tindakan ketika kita mengusahakan bisnes secara separuh masa.

business plan

Taat kepada pelan tindakan tersebut. Maksudnya diri sendiri dan ahli pasukan sanggup memberikan komitmen untuk melaksanakannya. Paling mudah, rujuk mentor bisnes dan minta nasihat daripada mereka terlebih dahulu. Ia mengurangkan risiko untuk melakukan kesilapan mudah di dalam menguruskan bisnes.

#4 – Sanggup bekerja 12 jam hingga 14 jam sehari

Pada peringkat permulaan bisnes dijalankan sepenuh masa, pengorbanan yang harus dilakukan ialah kesanggupan untuk bekerja lebih masa daripada jumlah masa ketika bekerja makan gaji. Bekerja lebih masa ini hanya sementara sahaja sebelum kita serahkan sebahagian kerja kepada ahli pasukan yang lain.

Apabila sepenuh masa, disiplin datang dari dalam diri kita. Tiada lagi undang-undang yang mengawal kita. Segelintir pemilik bisnes ketika menjalankan bisnes separuh masa, bisnes berjalan dengan baik. Apabila sepenuh masa, bisnes jatuh. Lazimnya, ia ada kaitan dengan masalah disiplin diri.

#5 – Restu ibu bapa

Dari sudut kerohanian pula, minta restu ibu bapa dan mohon doa daripada mereka. Kejayaan lebih mudah dicapai apabila kita menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, isteri, anak-anak dan keluarga terdekat.

Seorang mentor kami pernah berkata, “Di saat ibu bapa menitiskan air mata mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kita, Insya Allah rezeki kita tidak akan putus.”

Perancangan kabur punca tekanan

Membuat keputusan untuk berhenti kerja bukan satu keputusan yang remeh. Antara faktor berhenti kerja yang meletakkan pemilik bisnes itu di dalam tekanan apabila mengusahakan bisnes sepenuh masa ialah.

Berhenti sebab tidak suka kerja tersebut.
Berhenti sebab ghairah melihat kejayaan pengusaha bisnes sepenuh masa.
Berhenti sebab ingin menyelesaikan hutang menggunakan hasil keuntungan bisnes
Ketiga-tiga sebab di atas bukan alasan yang sesuai untuk berhenti kerja. Apabila keputusan bersandarkan sebab-sebab di atas, ia bakal mengundang banyak lagi keputusan dan peristiwa yang tidak sihat berlaku ke atas pemilik bisnes tersebut.

Kita berhenti kerana mempunyai perancangan lebih baik. Kita keluar daripada dunia makan gaji untuk memasuki dunia yang lebih baik. Baiknya dunia itu ialah hasil daripada perancangan yang telah disusun lebih awal.

Apabila perancangan rapi dibuat, kita tidak perlu memulakan bisnes sepenuh masa dengan duit pinjaman dari mana-mana pihak. Kita boleh bermula dengan apa yang ada di tangan.

Kita juga dapat menguruskan persepsi keluarga terdekat dengan baik. Sebahagian usahawan baru, mereka datang daripada keluarga yang tidak mempunyai jiwa bisnes. Apabila keputusan untuk berhenti kerja dibuat, keadaan menjadi tegang apabila pasangan atau keluarga terdekat tidak memahami.

berhenti-kerja-makan-gaji-3

Tekanan ini sebenarnya dapat dikawal. Rasa khuatir dan bimbang mereka dapat ‘dijinakkan’ apabila kita mempunyai perancangan rapi dan simpanan untuk masa depan mereka. Apabila kita dapat meyakinkan mereka dengan bukti-bukti yang kukuh, ia memberikan kita lebih fokus untuk mengembangkan bisnes. Tekanan-tekanan tidak sepatutnya ditanggung telah diuruskan lebih awal.

Akhir kata, usah didengar cerita-cerita asyik sahaja tentang dunia bisnes. Ia boleh mendorong kita membuat keputusan di luar logik bisnes. Hakikatnya, banyak kisah-kisah pilu dunia bisnes yang sembunyikan. Lambakan kisah pilu pemilik bisnes ini akibat daripada bertindak tanpa perancangan.
loading...

0 Response to "Persediaan Letak Jawatan Untuk Berniaga Sepenuh Masa"

Post a Comment