Cukai minuman bergula langkah praktikal : Kenakan Cukai Ikut Kandungan Gula Dalam Minuman

loading...

MELAKA - Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai minimum ke atas minuman bergula diimport atau diproses di kilang tempatan adalah langkah praktikal bagi mengawal pengambilan gula di kalangan rakyat.

Yang Dipertua Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim)n, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, pertubuhan itu percaya cadangan itu merupakan langkah jangka panjang berterusan bagi menghindari penyakit akibat pengambilan gula berlebihan seperti kencing manis.

"Langkah itu juga penting bagi mendidik pengguna untuk menghargai kesihatan mereka melalui amalan pemakanan yang sihat dengan mengehadkan pengambilan diet bergula.

"Namun kita memohon kerajaan agar mememberi penjelasan terperinci mengenai cadangan tersebut supaya ia tidak disalah tafsir oleh rakyat sebagai tindakan menarik balik subsidi dan sebagainya," katanya kepada Bernama di sini.

Pada Jun lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata,‎ cadangan mengenakan cukai terhadap minuman bergula itu masih dibincang di peringkat kementerian dan sebarang keputusan yang dibuat dipastikan akan memberi kesan baik kepada kesihatan rakyat.

Dr Ahmad Shukri berkata, tindakan lebih tegas terhadap kawalan pengeluaran produk bergula adalah penting memandangkan impaknya yang besar kepada kesihatan rakyat di negara ini.

"Lambakan pelbagai produk yang mengandungi perisa gula tambahan dalam produk makanan dan bahan tambahan yang tidak diperlukan tubuh didapati amat mudah diperoleh di pasaran di samping harganya yang rendah.

"Ini menggalakkan lagi pengguna mengambil produk bergula seperti minuman berkalori tinggi dalam tin, kotak atau botol dengan sewenang-wenangnya hingga menghasilkan ketagihan seterusnya mengakibatkan tahap kesihatan mereka terjejas," katanya.

Katanya, produk bergula jika diambil secara berlebihan daripada keperluan tenaga harian boleh mengundang pelbagai penyakit kronik terutamanya Sindrom Metabolik yang menjadi punca terjadinya obesiti, kencing manis dan hiperkolesterolemia serta darah tinggi.

Beliau berkata, Perdim memandang serius isu berkaitan produk bergula kerana ia merupakan satu daripada matlamat pertubuhan itu dalam usaha menggiatkan usaha ke arah mensejahterakan kesihatan masyarakat di negara ini. - Bernama







loading...

0 Response to "Cukai minuman bergula langkah praktikal : Kenakan Cukai Ikut Kandungan Gula Dalam Minuman"

Post a Comment