loading...
MEMAHAMI FAHAM KEBANGSAAN JOHORoleh Wan Ahmad Fayhsal
Media dan rakyat kembali hangat membangkitkan sentimen "Bangsa Johor" sebagai satu sindiran dan reaksi kepada kemenangan dua Paralympian kita yang berasal dari Perlis.
Kekalutan ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia masih tidak faham makna dan semangat Kebangsaan Johor yang sering dilaungkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail.
Mari baca apa yang saya telah tulis di sini tentang asas-asas yang membentuk Bangsa Johor.
Walaupun saya bukan Bangsa Johor, saya faham benar apa yang dimaksudkan oleh kerabat diraja Johor.
Di mana kesilapan besar rakyat Malaysia yang mencemuh faham kebangsaan Johor?
Kesilapan terbesar kita ialah kita masih tertawan dengan konsep "race" yang ditempa oleh pemikir Barat circa zaman Pencerahan (Enlightenment), satu binaan kemasyarakatan (social construct) yang dipengaruhi semangat saintifik yang rasional lagi sekular. Hal ini dibawa masuk oleh penjajah Barat seperti Stamford Raffles yang menjadikan bidang kaji manusia (antropologi) dan kaji masyarakat (sosiologi) untuk mengkelaskan orang Melayu sebagai satu "bangsa" (race) yang ditakrif melalui acuan Barat.
Hakikatnya ketika zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka sampailah awal abad ke-18, identiti "Bangsa Melayu" itu tidaklah sesuatu yang dipakai umum kerana masyarakat ketika itu lebih cenderung memperkenalkan diri mereka sebagai rakyat kepada satu-satu jajahan Kesultanan (rakyat Melaka, Pahang) atau berdasarkan geografi (orang Hulu, orang Muar).
Faham Kebangsaan Johor atau "Bangsa Johor" adalah bertentangan dengan apa yang kita fahami kini dan apa yang telah ditakrifkan oleh Perlembagaan Persekutuan tentang makna Bangsa Melayu dalam Artikel 153.
"Bangsa Johor" secara hakikatnya (in essence) adalah satu identiti yang dibina di atas faham Kerajaan - satu identiti yang berpusat kepada Raja yang memerintah jajahan.
Malah istilah "negeri" yang kita guna pakai ini sekalipun adalah saduran daripada faham kenegerian/kenegaraan (state) Barat yang langsung tidak sama dengan konsep dan istilah "Dawlah" atau "Dar" (seperti Perak Dar al-Ridzuan, Johor Dar al-Ta'zim) yang tidak ditakrif berdasarkan sempadan yang dilukis di atas peta sebaliknya tergantung kepada keluasan pengaruh kerajaan tersebut dalam satu-satu jajahan.
"Bangsa Johor" adalah identiti yang diwujudkan oleh Sultan Sir Abu Bakar, bapa kerajaan moden Johor, pada hemat saya boleh dilihat sebagai satu senjata pertahanan kepada naratif antropologi dan sosiologi penjajah Barat yang ingin meleburkan sejarah dan identiti "peradaban" Melayu yang bersifat "kerajaan" (kingship).
Semacam di Barat, sebelum wujud negara-bangsa British, Jermah, Perancis, Italy, mereka dikenali dengan hubungan kerakyatan (subject) yang bernaung di bawah contoh, kerajaan (kindgom) seperti Habsburg (kini jadi Austria), Burgundy (yang ada kaitan dengan Perancis, Switzerland, Itali), atau Bourbon (dalam Perancis) atau Saxony (dalam Jerman).
Faham kebangsaan Perancis, Itali, Jerman belum lahir sampailah penyatuan bersifat negara-bangsa berlaku setelah rakyat menjatuhkan keluarga diraja dan bangsawan mereka.
Bangsa Johor tidak ditakrif secara biologi sebaliknya secara "peradaban" dalam acuan kerajaan.
Tapi sebab Perlembagaan Persekutuan dirangka oleh British yang berkiblatkan faham Enligtenment dalam memahami sosio-budaya Melayu, habis kita ditakrif secara sempit sekadar sebagai satu "race" untuk memberi ruang kepada kaum imigran yang datang dari Cina dan India ketika itu, yang mahu diberi kerakyatan.
Bangsa Johor benar-benar unik kerana konsep dan identiti-nya tidak berjaya dileburkan oleh penjajah.
Negeri-negeri Melayu lain, bilamana anak-anak Raja ini disekolahkan di Barat, mereka telah secara tak langsung membawa masuk faham-faham bangsa yang berasaskan Enlightenment ini dan struktur politik Persekutuan Tanah Melayu telah melemahkan identiti kenegerian dan kerajaan yang sebenarnya adalah identiti akar orang-orang Melayu sebelum British.
Selagi mana 'asabiyyah kebangsaan yang berasaskan kerajaan tidak menyalahi Shara', ianya adalah sumber kekuatan bukan liabiliti kepada negara. Lagi pun identiti Bangsa Malaysia itu adalah "fictive" kerana ianya dipaksa menggunakan saluran perundangan iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Bangsa Malaysia tidak wujud. Warganegara Malaysia wujud.
Bangsa/Rakyat Johor, Bangsa/Rakyat Perak, Bangsa/Rakyat Kedah, Bangsa/Rakyat Pahang dan lain-lain adalah identiti sebenar kita tak kira Melayu, Cina, India dan keturunan lain.
Hargai keunikan ini dan kita harus berterima kasih kepada Bangsa Johor kerana menghidupkan semula sejarah dan identiti asal yang tidak dinodai British yang tangkap muat identiti kita untuk dirasionalkan dalam kerangka rasisme Enlightenment.
loading...
0 Response to "MEMAHAMI SEMANGAT KEBANGSAAN JOHOR"
Post a Comment