Kenaikan caj hospital kerajaan wajar - Subramaniam

loading...

DR SUBRAMANIAM: Walaupun kita naik sedikit berbanding bayaran dulu, tetapi masih ada subsidi yang besar terhadap pesakit kelas 1 dan kelas 2.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kenaikan caj rawatan hospital kerajaan sebanyak 50 peratus sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menegaskan kenaikan tersebut wajar memandangkan kos operasi hospital yang semakin meningkat.

Malah, katanya, kali terakhir KKM melaksanakan kenaikan caj hospital kerajaan adalah pada 1982, iaitu 34 tahun lepas.

Bagaimanapun, jelas Dr Subramaniam, kenaikan yang akan berkuat kuasa mulai Januari tahun depan itu hanya melibatkan caj yang dikenakan terhadap pesakit kelas 1 dan kelas 2.

"Walaupun kita naik sedikit berbanding bayaran dulu, tetapi masih ada subsidi yang besar terhadap pesakit kelas 1 dan kelas 2.

"Tanggungjawab utama KKM adalah untuk pastikan bahawa kumpulan (masyarakat) miskin dan berpendapatan rendah yang datang ke sistem perkhidmatan awam tidak dikenakan apa-apa bayaran. Kita tidak lari daripada prinsip itu," katanya dalam sidang media mesyuarat 'Post-Cabinet' kementeriannya di sini.

Daripada dua juta pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, hanya kira-kira 32,000 daripadanya ialah pesakit kelas 1 dan kelas 2.

Kata Dr Subramaniam, golongan tersebut adalah yang mempunyai pilihan dan ada kalanya mendapatkan rawatan di hospital swasta.

"Sebab itu kami naikkan caj dan potong subsidi.

"Saya harap hasil daripada itu akan digunakan untuk mendapatkan ubat tambahan atau seumpamanya bagi mereka yang memerlukan di kelas 3," jelasnya.
Ketika ini, kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan 31 juta rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, manakala hanya 25 peratus sahaja memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.
loading...

0 Response to "Kenaikan caj hospital kerajaan wajar - Subramaniam"

Post a Comment