loading...
Kewangan dan Ekonomi
Setiap kali menjelang hari raya, kerajaan pasti akan meletakkan barangan kawalan, dengan harga tertentu, yang mana penjual tidak boleh menjual dengan harga yang lebih daripada harga siling. Contohnya ayam, gula, gandum, beras, minyak masak, daging, garam, telah diletakkan harga yang khusus oleh kerajaan. Begitu juga harga minyak petrol, gas memasak dan banyak lagi barangan yang harganya ditentukan oleh kerajaan dan diisytiharkan sebagai barangan kawalan.
Persoalannya, bolehkah kerajaan sesuka hati meletakkan harga kepada barangan, yang mungkin akan menindas penjual bahkan mungkin merugikan penjual? Ada baiknya kita teliti di mana asasnya dan bagai mana pendirian Islam tentang isu ini. Iaitu isu menentukan harga atau dalam bahasa Arab namanya al-Tas’ir atau pricing policy.
Definisi al-Tas’ir
Tas’ir ialah menentukan harga, manakala al-As’ar adalah kata jamak kepada perkataan al-si’r, iaitu dalam bahasa Melayu ialah harga atau price. Dalam bahasa Arab ada beberapa perkatan yang hampir sama maksudnya dengan al-as’ar iaitu;
i. Al-thaman ialah harga yang dipersetujui oleh kedua-dua penjual dan pembeli, walaupun mungkin harganya lebih mahal atau lebih murah daripada nilannya yang sebenar
ii. Al-Qimah, ialah nilai barangan yang diaudit oleh juru audit bertauliah, dinamakan juga thaman al-mithli
Dalam sistem pasaran Islam, harga pada asalnya ditentukan oleh penjual dan pembeli berasaskan kerelaan masing-masing, serta penilaian masing-masing setelah kedua-duanya benar-benar mengetahui tentang harga dan nilai barangan atau perkhidmatan itu.
Ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah kecuali melalui perniagaan yang saling dipersetujui antara kamu..” [al-Nisa 29]. Berasaskan dalil ini, para sarjana fiqh Islam membuat kesimpulan bahawa Islam memberikan kebebasan untuk kuasa pasaran, yang mengandungi kuasa penjual dan pembeli, untuk menentukan harga.
Hukum Penentuan Harga (Pricing) Oleh Kerajaan Dan Dalilnya
Seperti yang telah dijelaskan, penentuan harga pada asasnya ditentukan oleh peserta pasaran, bukan orang luar, termasuklah kerajaan. Justeru, majoriti sarjana dalam hampir semua mazhab menganggap adalah haram bagi kerajaan untuk campur tangan dalam urusan penentuan harga (pricing) dalam pasaran. Biarkan kekuatan penawaran dan permintaan yang menentukannya.
Antara dalil yang menghalang kerajaan daripada campur tangan ialah ayat al-Quran tadi yang telah menetapkan bahawa setiap urusan jual beli mesti dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Jika ada campur tangan kerajaan, ia akan mengganggu dan seolah-olah memaksa penjual untuk menjual dengan harga yang tidak dipersetujuinya. Oleh itu, penjualan tanpa kerelaan dianggap tidak sah, kerana ia adalah memakan harta sesama insan dengan cara yang salah.
Berasaskan ayat surah al-Nisa tadi juga, dan disokong oleh ayat yang lain, iaitu “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...” Menunjukkan kebebasan umat Islam untuk melakukan transaksi jual beli dan meletakkan apa jua syarat asalkan kedua-duanya bersetuju dan tidak melanggar mana-mana dalil yang jelas. Hanya dalil yang jelas sahaja yang boleh menghalang atau menyekat apa jua transaksi jual beli. Oleh sebab itu, untuk menentukan harga dalam pasaran, kerajaan perlu ada dalil yang cukup kuat, dan sahih, jika tidak, ia menyekat kebebasan masyarakat untuk melakukan transaksi jual beli yang dipelihara oleh Syariah.
Larangan polisi penentuan harga kawalan oleh kerajaan juga diperkuatkan lagi dengan adanya hadis sahih yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, katanya; Pada zaman Rasululah s.a.w telah berlaku kenaikan harga barangan, maka masyarakat mengadu kepada Rasulullah s.a.w (yang merupakan ketua kerajaan pada masa itu); “Wahai Rasulullah, harga barangan sudah naik, tolonglah tentukan harga untuk (pasaran) kami.” Rasulullah menjawab, “Sesungguhnya Allah yang Maha Menentukan harga, Yang Maha Menahan (rezeki) dan Maha Mempermudah (rezeki), dan Maha Memberi Rezeki. Dan sesungguhnya aku mengharapkan bertemu dengan Tuhanku pada hari akhirat dalam keadaan tiada seorang pun di kalangan kamu yang boleh menuntut kepadaku atas sebab melakukan kezaliman sama ada pada nyawa, mahu pun harta!” [Riwayat Abu Dawud, Tirmidhi, dan Bayhaqi]
Jelas sekali hadis di atas menunjukkan penentuan harga oleh kerajaan adalah salah satu bentuk kezaliman terhadap harta orang lain. Hadis yang lebih kurang sama juga diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a katanya; Ada seorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; “Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga pasaran,” Jawab baginda SAW, “Bahkan biarkan Allah yang menentukan” Kemudian datang lagi seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga pasaran untuk kami”. Jawab Rasulullah SAW, “Bahkan biarkanlah Allah yang menaikkan dan menurunkan, dan sesungguhnya aku mengharapkan bertemu dengan Tuhanku pada hari akhirat dalam keadaan tiada seorang pun di kalangan kamu yang boleh menuntut kepadaku atas sebab melakukan kezaliman!” [Riwayat Abu Daud dan Bayhaqi]
Cukuplah dua dalil ini menunjukkan betapa kerajaan tidak boleh mencampuri pasaran dalam urusan menentukan harga, walaupun ketika sedang naik. Itu di zaman Rasulullah SAW, bagaimana pula dengan zaman pemerintahan para sahabat?
Diceritakan dalam al-Muwatta’ dan Sunan al-Kubra al-Bayhaqi, pada suatu ketika Sayyidina ‘Umar datang ke kedai seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Balta’ah R.A yang menjual kismis lalu beliau menentukan harga kismis itu dan berkata, “Sama ada kamu naikkan harga atau kamu tidak menjualnya di pasar ini” Setelah kembali ke rumah, khalifah ‘Umar al-Khattab r.a menilai kembali pandangannya itu dan menarik balik pandangannya lalu beliau pergi semula ke rumah Hatib lalu berkata, “Apa yang aku ucapkan tadi bukanlah satu paksaan dariku dan bukan juga satu ketentuan kerajaan, akan tetapi ia merupakan sekadar harapan aku untuk kebaikan masyarakat bandar ini sahaja. Apapun, apa jua kamu mahu jual, maka juallah, bagaimana cara kamu mahu jual, maka juallah.“
Jelas sekali kisah ini menunjukkan kerajaan tidak akan campur tangan dalam menentukan harga pasaran, dan membiarkan harga ditentukan oleh kuasa penawaran dan permintaan oleh penjual dan pembeli sahaja.
Perbezaan Pandangan Di Kalangan Sarjana
Sekalipun hadis tadi telah jelas tentang pendirian Syariah tentang campur tangan kerajaan dalam menentukan harga, walaupun majoriti sarjana telah menganggap ia haram, para sarjana masih lagi berbeza pandangan tentang beberapa perkara;
i. Terdapat sarjana daripada mazhab Hanafi yang mengharuskan penentuan harga oleh kerajaan, dalam situasi kenaikan harga barangan yang mendadak dan luar biasa sahaja bukan dalam semua keadaan atau pada sesuatu barangan tertentu.
ii. Majoriti sarjana daripada mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali tetap mengharamkan walaupun dalam situasi kenaikan harga di pasaran
iii. Terdapat beberapa sarjana lagi daripada mazhab Hanbali, yang dipelopori oleh Ibn Taymiyyah rh dan Ibn Qayyim, sebilangan sarjana mazhab Syafi’i dan Maliki mengharuskan kerajaan menentukan harga barangan, walaupun bukan kerana berlakunya kenaikan yang melampau, tetapi bergantung kepada keadaan dan keperluan samasa.
Pandangan pertama dan ketiga tersebut kelihatan terdapat sedikit persamaan kerana objektif mereka ialah kemaslahatan masyarakat. Cuma pandangan Hanafi terhad jika berlaku kenaikan melampau sahaja. Manakala pandangan kedua menolak konsep penetapan harga oleh kerajaan alasan itu kerana di hadis tersebut jelas, dalam keadaan harga naik pun Rasulullah s.a.w masih tidak mahu untuk menentukan harga, kerana ia mungkin akan menzalimi penjual. Pandangan kedua yang kelihatan tegas itu pun turut melihat kepada kepentingan dan kemaslahatan pasaran, iaitu kepentingan penjual agar tidak dizalimi.
Justeru dapat disimpulkan, bahawa sekiranya berlaku kenaikan yang luar biasa, yang mungkin boleh memudaratkan masyarakat awam dengan kenaikan itu, kerajaan boleh menentukan harga pasaran dengan syarat tidak boleh menzalimi pihak penjual. Ini kerana tujuan pengharaman penentuan harga oleh kerajaan ialah untuk menjaga pasaran, tetapi jika pergerakan pasaran menuju ke satu arah yang luar biasa, yang memudaratkan masyarakat, kerajaan tetap perlu melakukan sesuatu. Dan pandangan ketiga lebih relevan dalam konteks sekarang, apabila struktur pasaran moden sekarang ini lebih kompleks dan memerlukan campur tangan kerajaan terutama terhadap produk-produk utama seperti makanan asasi dan keperluan asas seperti petrol dan seumpamanya.
Dalam hal ini, Ibn Taymiyyah rh dan beberapa sarjana lain, meletakkan beberapa situasi yang mana kerajaan boleh campur tangan dalam penentuan harga:
i. Jika berlaku kenaikan harga makanan yang melampau dan luar biasa contohnya kenaikan sekali ganda atau berganda-ganda
ii. Situasi masyarakat yang sangat memerlukan makanan, maka kerajaan boleh memaksa penyimpan stok untuk menjual dengan harga yang ditentukan demi menjaga kemaslahatan, dengan harga yang tidak merugikannya
iii. Situasi berlaku pergerakan pasaran ke arah memonopoli melalui cara manipulasi pasaran untuk menaikkan harga. Ketika ini kerajaan berhak memaksa penjual menjual dengan harga semasa, ataupun dengan harga kos sebagai hukuman kerana memanipulasi pasaran
iv. Situasi berlaku monopoli terhadap sumber makanan oleh satu pihak sahaja, maka kerajaan boleh menentukan harga yang sesuai untuk dijual oleh pihak yang memonopoli ini
Bagaimana para sarjana boleh seolah-olah ‘mengubah’ hukum daripada haram (menurut zahir hadith) kepada memberi keharusan untuk situasi-situasi tersebut?
Sebenarnya para sarjana tidak pun mengubah hukum, kecuali mereka melihat hukum Syariah, khasnya hukum penentuan harga ini dari aspek objektifnya, iaitu untuk menjaga kemaslahatan semua pihak dalam pasaran. Ini berasaskan banyak dalil-dalil lain yang menunjukkan Islam sentiasa memastikan agar pasaran tidak disempitkan sumbernya dan perlu diperluaskan sumbernya contohnya:
i. Islam mengharamkan urus niaga antara orang bandar dengan orang kampung dan mengharamkan talaqqi al-rukban iaitu menyekat sumber yang datang daripada luar ke bandar. Larangan ini bertujuan untuk memberi kebebasan kepada akses terhadap pergerakan pasaran dan meluaskan sumber pasaran
ii. Islam mengharamkan menyorok barangan (ihtikar) untuk memanipulasi harga, kerana ia akan menyempitkan sumber dalam pasaran
iii. Islam menggalakkan pergerakan barangan dan sumber sebagaimana hadis Rasulullah, “Orang yang membawa barangan masuk pasaran akan direzekikan oleh Allah, manakala orang yang menyorok barangan, akan dilaknat oleh Allah”
Kata pakar ekonomi Islam, Syaykh Islam Ibn Taymiyyah r.h., “Jika sampai kepada satu tahap yang tiada cara lain kecuali perlu kepada penentuan harga oleh kerajaan, maka kerajaan hendaklah menetapkan harga yang adil tanpa memudaratkan dan melampau...” [Ibn Taymiyyah, al-Hisbah fi al-Islam] Maksudnya ialah adil bagi pengguna, dan adil bagi penjual.
Bagaimana Cara Campur Tangan Dalam Harga?
Islam tidak menggalakkan campur tangan dalam penentuan harga kerana harga ialah salah satu daripada mekanisme pasaran, sebagaimana Islam tidak membenarkan kerajaan campur tangan dalam mempengaruhi permintaan dan penawaran. Namun begitu, dalam situasi kenaikan harga barang yang tidak normal dan menjejaskan pasaran, kerajaan perlu juga campur tangan terhadap mekanisme pasaran dengan cara terbaik.
Antara cara yang disarankan oleh ahli ekonomi ialah dengan mengeluarkan stok penimbal yang ada oleh kerajaan. Stok makanan yang disimpan oleh kerajaan boleh dijual sama ada melalui syarikat milik kerajaan atau menyalurkan kepada pengedar-pengedar agar peningkatan penawaran akan menurunkan harga. Selain itu cara lain ialah dengan menguatkuasakan undang-undang. Itu pun, menurut Ibn al-Hajib daripada sebelum undang-undang penentuan harga dibuat, adalah wajar diambil pandangan daripada peserta pasaran terdahulu dan memilih harga terbaik yang adil untuk semua. Sudah semestinya langkah terbaik ialah dengan menentukan tiada monopoli terhadap barangan mentah utama dan kawalan terhadap barang mentah utama adalah penting, sebelum kerajaan menentukan harga dalam pasaran.
Kesimpulan
Polisi penentuan harga yang dibenarkan oleh Syariah jelas menunjukkan Islam tidak membenarkan campur tangan kerajaan yang keterlaluan terhadap mekanisme pasaran. Namun, hal ini tidak bererti kerajaan tidak mencampuri urusan pembinaan struktur pasaran serta pengawalseliaan terhadap perjalanan mekanisme pasaran. Struktur pasaran perlu dipastikan agar wujudnya ketelusan maklumat, tidak berlaku penipuan, penindasan, manipulasi kejahilan masyarakat dan seumpamanya. Struktur pasaran yang baik inilah yang wajar dibiarkan bergerak sendiri berasaskan rezeki yang akan dikurniakan oleh Allah, tetapi pada masa yang sama pemantauan dan pengawalseliaan diperlukan untuk memastikan pergerakannya berjalan atas relnya yang ditetapkan.
loading...
0 Response to "Konsep Penetapan Harga Dalam Perniagaan Online Menurut Ekonomi Islam"
Post a Comment