Anak Mangsa Hanya Terima RM12,000 Dari RM300,000 Wang Sumbangan Semua Telah Di Kebas

loading...



Seorang waris kepada tiga beranak yang maut dalam kemalangan tahun lalu mendakwa dua anak saudara hanya mendapat RM12,000 berbanding sumbangan orang ramai yang terkumpul kira-kira RM300,000.

Yusnidah Hussain, 48, kakak kepada Allahyarham Fairuz Nizam, 35, berkata, wang sebanyak itu diperolehi selepas dia membuat laporan polis pada 22 Jun tahun lalu.

Beliau mendakwa, semua wang sumbangan orang ramai itu dimasukkan atas nama akaun bank peribadi dua adiknya yang lain.

“Saya sedih kerana wang yang sepatutnya menjadi hak dua anak saudara saya tidak sampai ke tangan mereka untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian demi masa depan.

“Alasan yang diberikan oleh adik-adik saya, wang itu hak mereka kerana akaun bank peribadi atas nama mereka.

“Mereka turut memberi alasan dengan menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang itu sah milik mereka mengikut Islam.

“Padahal saya yang menjaga dua anak saudara saya selepas seminggu kematian ibu bapa mereka hingga ke hari ini.

“Namun disebabkan pertikaian wang sumbangan itu, hubungan kami adik-beradik berpecah sehingga berlaku saman-menyaman dan kes kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Yusnaidah mengadakan sidang media yang turut ditemani dua anak saudaranya, Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqilah, 5.

Myvi langgar pajero
Kemalangan maut melibatkan Pajero dengan beberapa buah kereta MyVi mengorbankan Fairuz Nizam, isteri dan bayi mereka pada Mei tahun lepas.

Pada 2 Mei tahun lalu, Fairuz Nizam dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa terbunuh di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) Kilometer 6.2 arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini pukul 1.05 pagi.

Yusnidah yang memiliki tujuh anak dan dua anak angkat kini mendapat hak penjagaan sementara Amira dan Aqilah daripada mahkamah.

Anak keduanya telah meninggal dunia manakala menantu serta seorang cucu turut tinggal bersamanya.

Mengulas lanjut, Yusnidah yang terpaksa menutup bisnes restoran dan kedai kek gara-gara konflik keluarga itu turut kesal kerana wang pampasan insurans arwah adiknya itu telah dituntut oleh keluarga sebelah isterinya.

Ini kerana jelasnya, satu sen wang pampasan itu tidak diberikan kepada dua anak saudaranya itu.

“Saya menjaga mereka siang malam dan melayan tangisan trauma pada waktu-waktu tertentu.

“Jangan kata hendak bertanya khabar, hantar buah atau makan pun tidak pernah.

“Tapi bila timbul isu wang sumbangan orang ramai dan pampasan insurans, mereka cepat ambil seolah-olah hak mereka.

“Kami sudah membuat laporan polis dan pihak polis tidak boleh ambik tindakan dengan alasan hal keluarga.

“Polis hanya boleh mengambil tindakan jika para penderma yang pernah menderma tampil membuat laporan kerana berlaku telah berlaku pecah amanah.

“Kami ada bukti penyata akaun bank peribadi yang menunjukkan jumlah yang diterima kira-kira RM300,000.

“Justeru kami mengalu-alukan orang ramai yang pernah menderma kepada Amira dan Aqilah tampil membuat laporan polis,” katanya.

mangsa-al-fatihah
Gambar kenangan Allahyarham Fairuz Nizam dan isterinya, Allahyarham Nova Safitri Azhari dan bayi, Allahyarham Nur Firuza Annisa dan dua lagi anak mereka Nur Firuza Amira,dan Nur Firuza Aqilah.

Nahas yang mendapat kecaman masyarakat mengakibatkan dua pemandu kereta Perodua Myvi didakwa di Mahkamah Majistret Trafik atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak itu.

Pada 8 Mei tahun lalu, juruteknik komputer, Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 31, dan Penolong Pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, masing-masing mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan.

Kedua-duanya didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam.

Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada dua anak memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu kepada seorang anak, memandu kereta W 5192 F berwarna kuning.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
loading...

0 Response to "Anak Mangsa Hanya Terima RM12,000 Dari RM300,000 Wang Sumbangan Semua Telah Di Kebas "

Post a Comment