Doa dan Bacaan Berbuka Puasa Yang Ramai Orang Silap ( Bukan 'Allahumma Laka Sumtu')

loading...

TIADA DOA YANG SAHIH UNTUK BERBUKA PUASA.

Doa yang masyhur seperti

Allahumma Laka Sumtu...

dan

Dzahaba adz-Dzamau....

Kedua-duanya adalah dhaif.

Kesimpulan:

1- Yang sunnah ialah membaca bismillah sebelum makan.
2- Boleh membaca doa daripada hadis dhaif di atas atau doa-doa yang lain.
3- Jangan menyatakan secara pasti ia adalah doa nabi s.a.w. Jika disebarkan hendaklah menyatakan ia riwayat dhaif.


[Status Hadis Doa Berbuka Puasa Riwayat Muaz bin Zuhrah]
Bahagian 1

Saya membaca tulisan ARG berkaitan status hadis Muaz bin Zuhrah. Saya dapati argumen beliau terfokus kepada 3 isu utama:

1. Muaz bin Zahrah perawi yang tsiqah kerana Ibn Hibban masukannya dalam kitab al-Tsiqat dan Ibn Hajar mengatakan beliau maqbul (diterima) dalam Taqrib al-Tahzib. Maka hadis ini hasan jika Muaz mengambilnya dari sahabat nabi.

2. Riwayat Ibn Abbas dan Anas menjadi penguat bagi hadis Muaz.

3. Hadis ini jika daif sekalipun ia boleh diamalkan dalam fadhail amal.

Saya jawab:

1. Saya tidak ada masalah dengan poin ketiga penulis kerana dari awal lagi saya katakan ia boleh diamalkan dalam fadhail amal. Cuma jangan disandarkan kepada Nabi saw secara pasti kerana ia tidak sahih.
2. Poin pertama penulis menunjukkan penulis tidak begitu mahir dalam ilmu hadis. Berikut penjelasannya:
- Penulis berhujah menggunakan perlakuan Ibn Hibban yang meletakkan Muaz dalam al-Tsiqat. Penulis membuat kesimpulan bahawa beliau adalah perawi tsiqah. Tidakkah penulis tahu bahawa Ibn Hibban mempunyai metodologi tersendiri ketika membawa nama perawi dalam al-Tsiqat:
i. Membawa nama perawi dengan memujinya secara jelas seperti "seorang yang lurus hadisnya atau seumpamanya". Biasanya perawi ini tidak bermasalah.
ii. Membawa nama perawi semata tanpa memujinya secara jelas. Kebiasaannya perawi ini tidak dikenali. dan Muaz bin Zuhrah disebut oleh Ibn Hibban dengan lafaz berikut:
معاذ أبو زهرة الضبي يروى المراسيل روى عنه حصين بن عبد الرحمن
Maksudnya: Muaz Abu Zuhrah al-Dhabbi. Meriwayatkan hadis mursal (terputus sanad). Husain bin Abdul Rahman meriwayatkan hadis darinya.
Tiada pujian secara jelas di sini. Maka apakah status Muaz jika Ibn Hibban hanya meletakkan namanya sahaja? Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyatakan dalam muqaddimah tahqiqnya bagi kitab Lisan al-Mizan:
وهذا الذي ذهب إليه ابن حبان، من أن الرجل إذا انتفت جهالة عينه، كان على العدالة إلى أن يتبين جَرحُه، مذهبٌ عجيب، والجمهور على خلافه
Maksudnya: Pandangan ini yang dipegang oleh Ibn Hibban iaitu seorang lelaki jika ternafi darinya jahalah 'ain (identiti yang tidak dikenali) maka dia berada atas keadilan sehingga jelas dia dikritik adalah SATU MAZHAB YANG AJAIB SEDANGKAN MAJORITI (ULAMA) memilih pandangan yang berbeza.
Ibn Abdil Hadi menjelaskan:
وقد ذكر ابن حبان في هذا الكتاب خلفاً كثيراً من هذا النمط ، وطريقته فيه أنه يذكر من لم يعرفه بجرح ، وإن كان مجهولاً لم يعرف حاله ، وينبغي أن ينبه لهذا ويعرف أن توثيق ابن حبان للرجل بمجرد ذكره في هذا الكتاب من أدنى درجات التوثيق
Maksudnya: Ibn Hibban dalam kitab ini (al-Tsiqat) perawi yang ramai dari jenis ini (tidak dikenali). Metode beliau dalam kitab ini ialah beliau membawakan perawi yang tidak diketahui pernah dikritik (oleh ulama hadis) walaupun keadaannya tidak diketahui (majhul). Maka perlu ambil perhatian untuk ini dan perlu diketahui bahawa tausiq (penilaian tsiqah) Ibn Hibban terhadap perawi dengan hanya menyebut namanya dalam kitab ini adalah serendah-rendah pujian.
al-Muallimi al-Yamani menjelaskan ketika berbicara tentang perawi yang bernama Abu Sinan yang dinilai daif oleh ulama hadis:
ولا ينفعه ذكر ابن حبان في الثقات لماعرف من تساهل ابن حبان
Maksudnya: Ibn Hibban menyebutnya dalam al-Tsiqat tidak memberikannya apa-apa manfaat kerana diketahui sifat bermudah-mudah Ibn Hibban. 
(al-Anwar al-Kasyifah)

Maka majoriti ulama berbeza dengan Ibn Hibban kerana membahagikan perawi kepada bahagian utama:

1. Perawi yang dipuji - maka perawi menjadi sama ada tsiqah atau soduq.
2. Perawi yang dikritik - maka perawi menjadi sama ada daif, daif berat atau pemalsu hadis.
3. Perawi yang tidak diketahui sama ada dipuji atau dikritik. Maka majoriti ulama 
mengatakan mereka adalah perawi majhul. Dan hadis mereka tertolak.
Oleh Itu al-Sakhawi dalam Fath al-Mugith mengkritik Ibn Hibban kerana mengeluarkan hadis perawi majhul dalam sahihnya:

وصف بأنه ( يداني ) أي يقارب ( الحاكم ) في التساهل وذلك يقتضي النظر في أحاديثه أيضا لأنه غير متقيد بالمعدلين بل ربما يخرج للمجهولين
Maksudnya: Disifatkan Ibn Hibban dengan menghampiri al-Hakim dalam bermudah-mudah (mensahihkan hadis). Ini membuatkan perlunya menilai kembali hadis-hadisnya juga kerana beliau tidak terikat dengan pujian ulama hadis terhadap perawi (untuk menjadikannya tsiqah) bahkan kemungkinan beliau meriwayatkan hadis perawi yang tidak dikenali.
- Penulis juga menggunakan penilaian Ibn Hajar untuk menyatakan Muaz diterima. Ini kesilapan fatal yang dilakukan oleh penulis. Terjemahan literal bagi istilah maqbul sememangnya membawa makna "diterima". Tetapi istilah ini mempunyai maksud yang tersendiri di sisi Ibn Hajar. Beliau menjelaskan maksud istilah ini dalam muqaddimah Taqrib al-Tahzib:
السادسة: من ليس له من الحديث إلا القليل، ولم يثبت فيه ما يترك حديثه من أجله، وإليه الإشارة بلفظ: مقبول، حيث يتابع، وإلا فلين الحديث.
maksudnya: Martabat perawi keenam: Perawi yang tidak mempunyai hadis melainkan sedikit dan tidak terdapat bukti pada perawi sesuatu yang menyebabkan riwayatnya ditolak (kerana kritikan padanya) maka dia dilabel dengan istilah maqbul jika riwayatnya disokong dengan mutabaah (iaitu sokongan dari jalur yang sama). Jika tidak (terdapat sokongan mutabaah) maka dia adalah perawi LEMAH.

Lihat apa yang disebut oleh Ibn Hajar. Jelas Ibn Hajar juga mengisyaratkan bahawa Muaz adalah perawi hadisnya tidak banyak. Ini bermakna dia tidak begitu dikenali sehingga kita tidak tahu adakah dia dikritik atau dipuji. Maka tiada sokongan mutabaah dalam riwayat ini. Justeru ia KEKAL DAIF.

Adapun riwayat Ibn Abbas dan Anas tidak dinamakan mutabaat sebaliknya ia adalah syawahid yang saya huraikan pada bahagian 2 nanti insyaAllah.
Nasihat saya kepada penulis, berhati-hatilah bermain dengan kitab al-Jarh wa al-Taadil. Terjemahan literal tidak selalunya membantu kita dalam ilmu ini.

Dr Rozaimi Ramle

[ Sambungan Bhagian 2]
loading...

0 Response to "Doa dan Bacaan Berbuka Puasa Yang Ramai Orang Silap ( Bukan 'Allahumma Laka Sumtu')"

Post a Comment