“Saya Langgar Sebab Hendak Cepat Ke Tempat Kerja”

loading...

GEORGE TOWN – Keluarga wanita warga emas yang maut dilanggar lari seorang penunggang motosikal di Jalan Burmah di sini kelmarin menuntut suspek dikenakan hukuman setimpal.

Anak lelaki bongsu mendiang yang hanya mahu dikenali sebagai Cheah, 23, berkata, keluarga mereka kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata ekoran insiden nahas tersebut pada tengah hari Khamis lalu.

“Dia tidak berperikemanusiaan. Terus pecut laju tanpa topi keledar yang terlepas akibat rempuhan itu. Kenapa dia lari selepas langgar ibu kami,” soalnya ketika ditemui pemberita di rumah pengkebumian di Mount Erskine di sini.

Cheah berkata, doktor mendapati ibunya, Foo Swee Wah, kehilangan 90 peratus darah dalam otak. Mangsa dalam perjalanan ke pasar basah Pulau Tikus membeli bekalan untuk restoran makanan Hainan milik keluarga mereka.

Video rakaman kemalangan itu menjadi tular menerusi media sosial yang menunjukkan mendiang terhumban akibat dilanggar semasa melintas ketika semua kenderaan berhenti apabila lampu isyarat jalan berwarna merah.

“Ibu saya selalunya akan pergi ke pasar tersebut di seberang jalan untuk mencari stok dapur sebelum kami membuka kedai. Abang sulung saya ada di premis sewaktu nahas kira-kira jam 10 pagi,” kata Cheah lagi.

Sejurus kemalangan, beberapa penduduk segera memaklumkan abang yang kebetulan berada di situ. Dia turut merayu pihak media untuk memberi ruang kepada keluarga yang masih bersedih sepanjang tempoh perkabungan.

Turut berada di rumah pengkebumian berkenaan ialah bapa Cheah dan kakaknya. Keluarga tersebut menuntut jasad Swee Wah, 58, dari rumah mayat Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam sebelum disemadikan pada Isnin depan.

Dalam pada itu, suspek yang ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut mendakwa bahawa dia terpaksa bergegas ke tempat kerja dan tidak menyedari lampu isyarat masih berwarna merah di jalan tersebut.

“Saya terpaksa tidak berhenti kerana takut akan diserang oleh orang awam jika turun bantu mangsa ketika itu dan sebaliknya terus ke HPP untuk rawatan akibat retak tulang pipi dan dagu,” katanya yang tidak didedahkan identiti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farida­lathrash Wahid mengesahkan kepada media bahawa suspek ditahan polis ketika dimasukkan ke sebuah wad untuk menerima rawatan di HPP pagi semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana cuai memandu menyebabkan maut yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM10,000 dan lesen memandu digantung. 
loading...

0 Response to "“Saya Langgar Sebab Hendak Cepat Ke Tempat Kerja”"

Post a Comment