Tudung FAREEDA : Mufti Tegur Pereka Tudung Kerana Tidak Ikut Syariat Islam

loading...

BERTUDUNG‎ adalah satu tuntutan dalam Islam namun perubahan zaman membuatkan konsep bertudung dilihat lebih terarah mengikut trend.

Persoalannya, adakah golongan wanita kini bertudung kerana tuntutan agama ataupun sekadar mengikut peredaran fesyen? Adakah pemakaian fesyen tudung kini itu mengikut syariat?

Jika dilihat di kawasan awam, ramai Muslimah mengenakan tudung dengan pelbagai fesyen dan ada yang memakainya tidak mengikut syariat seperti fabrik yang jarang, singkat dan menampakkan aurat. Sinar Harian mengupas isu ini.

Pereka tudung sepatutnya memahami konsep berhijab atau menutup aurat di dalam Islam dan mematuhi peraturan berpakaian menurut Islam, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Mohd Noor.

Tegasnya, tidak sepatutnya pakaian Muslimah dijadikan sebagai trend atau bahan persaingan.

“Ia seolah-olah  memperagakan fesyen terkini dan model semasa. Sebaliknya, dalam berpakaian termasuk tudung, umat Islam mesti mengutamakan tuntutan menutup aurat sebagaimana ditetapkan oleh syarak.

“Perlu diingat, Islam tidak pernah menentukan corak atau fesyen pakaian, baik untuk lelaki mahupun wanita Islam.

“Ini terpulanglah kepada minat masing-masing. Apa yang dituntut ialah menutup aurat serta bersopan,” katanya.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas isu pemakaian tudung dalam kalangan wanita Muslim.

Ia berikutan lebih ramai wanita Islam yang lebih gemar memakai tudung mengikut fesyen berbanding menutup aurat mengikut syariat.

“Kita suka jelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan hijab bukan sahaja pakaian, tetapi sekumpulan sifat-sifat sopan santun yang melibatkan cara berpakaian, gerak geri dan tutur kata.

“Islam mahu umatnya tidak terbawa-bawa dengan budaya zaman pra-Islam atau zaman jahiliah yang bergelumang dengan nafsu syahwat tanpa mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur,” katanya.

Menurutnya, Islam ingin umatnya menyucikan diri zahir dan batin. Pakaian wanita Islam atau Muslimat mestilah mencerminkan kesucian batinnya yang terdidik dengan akidah tauhid dan nilai-nilai akhlak rohaniah yang mulia.
loading...

0 Response to "Tudung FAREEDA : Mufti Tegur Pereka Tudung Kerana Tidak Ikut Syariat Islam"

Post a Comment