Cara Saya Bayar Hutang PTPTN Bila Berhenti Kerja & Jadi Surirumah

loading...

Pengalaman Seorang Surirumah Membayar Hutang PTPTN


“Kalau berhenti kerja, macam mana nak bayar hutang PTPTN?”

Ada banyak sebab seseorang belum mampu atau terpaksa menangguhkan membayar hutang PTPTN. Mungkin ada fresh graduate yang belum dapat kerja, nak mulakan bisnes sendiri, atau kebanyakan kes wanita pula terpaksa berhenti kerja dan jadi surirumah atas keperluan keluarga (macam sayalah).

Tapi, walau apa pun alasan kita – hutang tetap hutang. Dan apabila berhutang, kita wajib bayar balik. Dulu masa berhutang tak pernah nak beringat, sekali dah terkena barulah tahu (macam saya juga).

Jumlah Hutang PTPTN Bukannya Sedikit



Sehingga hari ini, sudah hampir 5 tahun saya berhenti kerja. Nak ditakdirkan, hutang PTPTN saya bukannya sedikit. Saya menuntut dalam bidang profesional (arkitek) di sebuah universiti awam dan mengambil pembiayaan penuh PTPTN. Kos pembiayaan bagi bidang ini mencecah RM35,000 bagi 5 tahun pengajian. Maksudnya, sebaik saja saya graduate, selepuk ada hutang RM35,000 yang perlu dilangsaikan kepada PTPTN dan jumlah ini belum lagi termasuk bunga atau kos pentadbiran.

Selepas graduate, saya mula bekerja. Cukuplah untuk menampung perbelanjaan harian, bayar hutang PTPTN, menabung untuk kahwin, dan ada lebih sedikit untuk beri kepada mak dan ayah. Tapi bagi seorang perempuan, biasalah, selepas berkahwin keadaan mula menjadi sedikit kompleks.

Semuanya bermula apabila suami saya dapat tawaran mengajar yang ditunggu-tunggu – tapi tak sangka pula kena ‘posting’ di Sarawak. Ketika ini, saya baru lepas bersalin dan sedang dalam tempoh cuti bersalin. Pening juga nak memikirkan bagaimana saya perlu mengatur hidup – sama ada nak teruskan kerja di sini dan ‘bercinta jarak jauh’ sambil uruskan anak sendiri ATAU nak ikut suami ke Sarawak.

Saya tak fikir panjang dan nekad ikut suami ke Sarawak – bukannya Kuching, Miri, atau Bintulu…tapi Betong. Mesti tak pernah dengar, kan?

Kawasan ini agak jauh ke dalam dan lapangan terbang terdekat adalah sejauh 3 jam perjalanan. Tapi bukanlah rumah atas pokok ya. Ada ‘line’ internet , rumah teres dan siaran TV Astro Njoi.

Berbalik pada kisah hutang saya tadi.

Sekarang saya dah berhenti kerja, tak ada pendapatan, dan masih berhutang. Jadi, apa yang perlu dilakukan supaya hutang ini tak menimbun dan menjadikan saya seorang yang kena ‘blacklist’?

#1. Kaji Keadaan Kewangan

Pertama sekali, saya nak tahu berapa lama saya boleh bayar habis loan PTPTN tanpa mengharap gaji suami? Tak kisahlah melalui bisnes baru, melalui gaji simpanan terdahulu, ihsan suami, dan sebagainya. Dengan cara ini, baru kita boleh nampak berapa lama kita boleh membayar hutang PTPTN tanpa mencari sebarang sumber pendapatan.

Selepas dikira-kira, hanya dalam 1-2 bulan saja yang mampu saya bayar. Nak harapkan simpanan bukannya banyak mana memandangkan kami berdua baru 2 tahun bekerja. Sebahagian besar simpanan pula dah dibuat belanja untuk majlis perkahwinan. Memang tak ada istilah nak bermewah.

Masa berpindah, kami datang sehelai sepinggang berbekalkan luggage 20 kg. Kereta pula suami pakai kereta lama ayahnya. Kereta ini dibawa ke Sarawak dengan kargo, kami masuk pula rumah kosong yang tak ada perabot. Bayangkanlah betapa adventure-nya akaun kami berdua ketika itu.

#2. Mohon Penangguhan Jika Perlu



Tahu tak, lepas bayar 2-3 tahun, jumlah hutang itu sebenarnya tak bergerak pun sebab yang dibayar habis dekat bunga dan kos pentadbiran. Sedangkan saya dah bayar mengikut jadual pelarasan (masa ini menggunakan sistem konvensional). Patutnya, masa berduit dulu, bayarlah lebih sedikit. Jadi, penting untuk kita update akaun PTPTN ini selalu. Rujuklah laman web PTPTN. Di sana kita boleh tengok berapa bayaran yang telah dibuat dan berapa jumlah bayaran yang tinggal.

Kalau nak minta penangguhan pun boleh. Tapi saya pernah tanya dengan Pegawai PTPTN, adakah bunga dan kos pentadbiran dapat dibekukan kalau kita memohon penangguhan. Dia jawab tak. Sama saja macam kita tak bayar, dan hutang itu pun bertambah. Jadi, buat apa mohon penangguhan? Supaya tak kena blacklist bila dah lama sangat berhenti membuat bayaran.

Oleh kerana saya malas dan kononnya saya boleh bayar balik dalam masa terdekat, saya tak mohon penangguhan.

#3. Strukturkan Peminjaman Semula



Lepas hidup dah agak stabil di Sarawak, suami saya offer’untuk sambung bayarkan hutang PTPTN saya. Tapi saya ‘malu-malu kucing’. Dekat setahun juga saya tak bayar PTPTN. Tapi Alhamdulillah nama saya tak disenarai hitam.

Jadi, saya cuba berunding dengan Pegawai PTPTN melalui Facebook dan lepas itu mereka bagi nombor pegawai melalui WhatsApp. (Kalau ada pertanyaan, tanya saja dekat Facebook mereka. Seingat saya mereka memang sangat responsif. Laju saja menjawab segala pertanyaan. ‘Salute!’)



Pihak PTPTPN mencadangkan saya untuk strukturkan semula peminjaman saya dan tukar kepada Ujrah. Kalau tukar kepada Ujrah ini memang bagus sebab bayaran setiap bulan tetap dan takkan bertambah walaupun ada kejatuhan matawang Ringgit atau sebagainya. Pegawai PTPTN juga akan membantu memaksimakan tempoh pinjaman untuk menetapkan bayaran yang sesuai dengan kemampuan kita setiap bulan.

Kos pentadbiran bagi pinjaman Ujrah adalah lebih rendah dan boleh jimat hingga 47%. Berbanding sistem konvensional yang dulu, awal-awal bayar sedikit, tapi lama-lama akan meningkat. Gerun tengok jumlah bayaran bulanan yang kena dibuat dalam masa 5-10 tahun lagi. Dah macam beli kereta sebiji.

Permohonan Ujrah ini prosesnya tidak sesukar mana. Kalau nak cepat, pergi ke Pejabat PTPTN dan mereka akan bagi Surat Tawaran Ujrah untuk dilengkapkan butirannya. TAPI syarat untuk memohon Ujrah ini, kita perlu melangsaikan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah bayaran yang tertunggak. Apa pun, jangan panik dulu.

#4. Pengeluaran Simpanan KWSP



Sewaktu mempertimbangkan permohonan Ujrah, saya dah beritahu pihak PTPTN siap-siap yang saya tak ada duit sebanyak itu. Jadi, saya diberitahu yang saya boleh memohon pengeluaran KWSP Akaun 2.

PTPTN akan memberi dokumen yang perlu kita bawa ke Pejabat KWSP. Lepas itu, mereka akan masukkan terus amaun pengeluaran KWSP tadi ke dalam Akaun PTPTN kita melalui sistem komputer.

Proses ini berjalan dengan sangat lancar, iaitu dalam masa beberapa minit saja. Dokumen dari KWSP yang dah disahkan tadi perlu diserahkan semula kepada Pegawai PTPTN untuk proses terakhir. Selepas itu, kita pun boleh buat bayaran bulanan seperti biasa.

#5. Rancangkan Pendapatan Tambahan

Kadar bayaran selepas memohon Ujrah adalah sangat berpatutan. Saya yang meminjam RM35,000 tadi cuma perlu membayar RM200 sebulan. Tapi kalau dah namanya surirumah, mana pula nak ‘cekau’ RM200? Tambahan pula, hidup di luar bandar Sarawak ini bukannya mudah kerana kurangnya fasiliti, tiada sanak-saudara, dan peluang pekerjaan yang sangat terhad.

Tapi, benarlah Allah kata kalau kita usaha, insha Allah ada jalannya.

Kebetulan, saya mendapat peluang menjadi pensyarah separuh masa dengan sebuah institusi kerajaan. Walaupun sekadar part time, saya cuba gunakan peluang tersebut untuk memohon pembiayaan ASB melalui CIMB.

#6. Ambil Pembiayaan ASB



Bagi saya, ini adalah ‘simpanan paksa’ saya dan wang persaraan saya. Lagipun, melalui simpanan ASB, kita hanya perlu mempunyai modal simpanan sekurang-kurangnya untuk 1 tahun dengan nilai yang kita mampu. Selepas tempoh itu, kalau tak ada simpanan pun, kita boleh keluarkan dividen (rolling dividend) untuk meneruskan ‘akaun persaraan’ ini sehingga habis tempoh ikatan perjanjian nanti.

Kalau dah malas nak teruskan, kita boleh terminate pembiayaan ASB dan dapatkan sedikit keuntungan selepas tempoh matang. Kalau disiplin, bolehlah dapat sekitar RM50,000 hingga RM200,000 selepas 10-30 tahun dari tarikh pembiayaan (bergantung kepada jumlah pembiayaan yang kita pilih). Mungkin ada yang kata tak untung pun, tapi kalau saya simpan sendiri tak tahulah dapat ke tidak sebanyak itu.

Lepas hampir setahun mengajar, saya kembali menjadi surirumah hinggalah ke hari ini. Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana saya masih mempunyai punca pendapatan di rumah melalui penulisan. Selagi ada duit lebih, saya akan biarkan dividen tersimpan di dalam akaun tanpa disentuh.

Kalau nak ikutkan, duit ‘simpanan paksa’ saya kini boleh membayar separuh daripada jumlah hutang PTPTN tersebut. Tapi, disebabkan jarak pejabat PTPTN yang jauh dan kurangnya bank yang berdekatan, duit tersebut saya peramkan dulu. Manalah tahu PTPTN ada buat promosi bayaran balik, berbaloi juga menunggu untuk bayar lump sum.

Jangan Biarkan Hutang PTPTN Menghantui Anda



Memang ada banyak sebab yang boleh menjadi punca hutang PTPTN kita tertunggak. Walau apa pun, janganlah takut untuk menghadapinya.

Sebaliknya, ambil langkah proaktif dan cuba bertanyakan kepada pihak PTPTN kerana mereka mungkin mempunyai pilihan dan pelan kewangan yang boleh kita usahakan. Rancangkan simpanan dengan baik dan cubalah mencari sumber pendapatan sekadar yang mampu. Sedikit tak mengapa, yang penting berkat. Jangan percaya pada skim cepat kaya atau bisnes yang meragukan.

Saya akui saya tak ada latarbelakang kewangan yang kukuh. Keluarga pun cukup makan saja. Mungkin disebabkan ‘tersadai’ di perantauan ini, ada hikmahnya yang tersendiri yang menjadikan saya ingin berdikari. Saya faham betapa sukarnya seorang wanita yang perlu menjadi surirumah walaupun mempunyai Degree mahupun Master. Bukan setakat kena tahan telinga daripada mulut-mulut orang sekeliling, bahkan sampai satu masa kita mungkin pernah berasa menjadi ‘beban’ kepada suami hingga sanggup ­mengabaikan hutang sendiri.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada sesiapa saja, terutamanya kepada peminjam PTPTN di luar sana. Apa yang dituliskan ini hanyalah melalui pengalaman saya. Saya bukanlah seorang pakar kewangan. Jadi, kalau ada yang lebih berpengalaman dan tahu selok-belok yang lebih menguntungkan, bolehlah kongsikan tipsnya semoga lebih ramai akan dapat manfaatnya.
loading...

0 Response to "Cara Saya Bayar Hutang PTPTN Bila Berhenti Kerja & Jadi Surirumah"

Post a Comment