loading...
SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Tuan, saya mahu bertanya. Bermesej dengan laki orang, bini orang ikut berwhatsapp dalam group whatsapp sekoloh bolehkah ustaz? Kalau tengok begini, grup bercampur lelaki dan perempuan, dan meleret mesej dia. Lama-lama, galak gatalnya. Baik lelaki, baik perempuan.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
1. Bermesej antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram hukumnya sama dengan bercakap antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Maksudnya hukumnya adalah dibolehkan jika ada keperluan, seperti jual beli dan seumpamanya.
2. Jika kandungan masej antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu ialah perkara-perkara mustahak atau perkara-perkara yang perlu seperti jual beli atau seumpamanya maka hukumnya adalah harus. Cuma perlu disingkatkan setakat mustahak sahaja dan bukan berleretan perkara tersebut sehingga menyeronokkan nafsu.
3. Sekiranya telah sampai tahap bermesej seperti didalam pertanyaan diatas maka jelas hukumnya adalah haram.
Dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda:
كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ.
Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang pasti akan dijalaninya. Kedua mata zinanya adalah melihat, kedua telinga zinanya adalah mendengar, lidah zinanya adalah berbicara, kedua tangan zinanya adalah menyentuh, kedua kaki zinanya adalah melangkah, dan hati pula berkeinginan dan berangan-rangan, sedangkan semua itu akan diterima atau ditolak oleh kemaluan.
Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahih-nya (no.2657)
4. Sememamagnya perkara tersebut adalah tangga pertama kepada apa yang lebih teruk. Kerana semua kita tahu amat jarang sekali kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang zina terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ringan-ringan akhirnya melangkah satu langkah satu langkah kepada yang paling berat.
Cukuplah bukti yang kita sendiri dapat melihat dengan mata kepala begitu banyak kes yang berlaku dalam masyarakat kita berpunca dari aplikasi whatsapp, facebook dan seumpamanya akhirnya berlaku keruntuhan rumah tangga, perceraian, berlakunya doza zina yang terkutuk yang mencemarkan kemuliaan insan, maruah sistem kekeluargaan, dan nasab dalam keturunan manusia. Perkara yang asalnya harus tetapi kerana nafsu bertukar menjadi haram kerana hilangnya rasa tanggungjawab dalam menghargai kebebasan yang Allah Taala amanahkan.
Kata syair arab :
نَظْرَةٌ فَابْتِسَامَةٌ فَسَلَامٌ فَكَلَامٌ فَمَوْعِدٌ فَلِقَاءٌ.
Maksudnya: Bermula dengan pandangan, kemudian disusuli dengan senyuman, lalu disusuli dengan bertegur sapa, barulah berbicara, lalu berjanji akhirnya bertemu.
Semoga Allah Taala menyelamatkan kita dan keluarga kita.
Wallahua’lam.
DATO’ DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: http://ulamasedunia.org/
loading...
0 Response to "Al-Kahfi : Terlalu Mesra Di Dalam Group Whatapps"
Post a Comment