loading...
SANDAKAN: Padah memecah masuk kedai dan mencuri RM1, seorang lelaki warga asing dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Abu Huraira Razak, 27, turut diarahkan membayar denda RM5,000 atau 12 bulan penjara dan diusir pulang ke negara asal selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Faelly Jeffrey Lanjungan.
Faelly turut mengarahkan tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk menjalani hukuman penjara daripada tarikh ditangkap pada 15 September tahun ini.
Berdasarkan fakta kes, Abu Huraira, warga Filipina yang baharu tiga hari tiba di negara ini secara haram dan tinggal di Kampung Mangkalinau pergi ke Bandar Indah, Batu 4 dengan menaiki kereta sapu untuk mencari peluang memecah masuk kedai pada 15 September lalu, kira-kira jam 5 pagi.
Tertuduh kemudian memecah masuk sebuah restoran menerusi pintu belakang dan mencuri tabung hiasan yang diletakkan dalam kaunter sebelum membawa tabung keluar dan mendapati cuma ada RM1 dalam tabung berkenaan.
Pekerja restoran yang menyedari kedai dipecah masuk kemudian menghubungi polis dan tertuduh ditangkap ketika cuba melarikan diri.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintendan Tan Hiap Wah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
loading...
0 Response to "Lelaki Dipenjara Tiga Tahun Kerana mencuri RM1 di Sabah"
Post a Comment