Wanita tidak tutup aurat diberi amaran, kaunseling - Jabatan Agama Islam Kelantan

loading...

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh (kanan) bersama anggota penguatkuasa yang akan menyertai operasi pada majlis pelancaran operasi puasa dan aurat di pejabat JAHEAIK, Balai Islam, Lundang,
KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) yang melakukan 'Ops Ramadan dan Aurat' hari ini, mengeluarkan amaran dan kaunseling kepada wanita yang tidak menutup aurat. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata seramai 24 wanita diberi amaran manakala tujuh lagi dikaunseling berikutan mendedahkan aurat. 

"Kami hanya memberikan kaunseling serta amaran kepada mereka kerana tujuan kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati bulan Ramadan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. Istilah tidak menutup aurat di negeri ini bermaksud tidak memakai tudung dan berpakaian ketat serta menjolok mata. Sementara itu, pengarah JAHEIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata operasi itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di negeri ini mengenai kewajipan menutup aurat mengikut Syariat Islam. 


"Untuk permulaan Ramadan, fasa pertama bagi operasi cegah aurat serta perbuatan tidak sopan adalah peringkat didikan serta nasihat manakala untuk operasi puasa, kita lebih ke arah fasa penguatkuasaan," katanya. Beliau juga berkata, operasi itu akan berterusan pada bulan Ramadan serta waktu operasi adalah pada waktu 11 pagi sehingga 5 petang serta akan bertindak pada waktu malam jika mendapat sebarang maklumat. 


Katanya, mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5 (1) iaitu perbuatan tidak sopan yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan manakala bagi Seksyen 26 iaitu tidak berpuasa di bulan Ramadan akan dikenakan denda RM500 serta penjara tiga bulan atau RM1,000. 


"Seramai 89 anggota di seluruh negeri ini akan dikerahkan dan kita mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan operasi ini berjalan lancar," katanya.

loading...

0 Response to "Wanita tidak tutup aurat diberi amaran, kaunseling - Jabatan Agama Islam Kelantan"

Post a Comment