loading...
Semalam saya telah post satu status di facebook page saya mengenai cukai. Anak saya Khaleef yang baru berusia 6 bulan telah menerima surat dari pejabat cukai yang telah memberikan nombor pengenalan cukai khas kepada beliau untuk digunakan apabila beliau dewasa nanti. Saya turut bercerita secara ringkas tentang manfaat yang diterima oleh pembayar cukai disini seperti kos sara hidup yang agak rendah, lebuhraya tiada tol, elaun bulanan bagi yang tidak bekerja yang mana menjadi faktor utama kepada ketiadaan kadar jenayah seperti meragut, merompak dan sebagainya.
Post tersebut telah mendapat respon yang luarbiasa dimana ramai yang memberi maklumbalas dan komen tentangnya. Kebanyakannya membandingkan dengan sistem percukaian di Malaysia. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak, ada yang sanggup dan ada yang tidak, ada yang menyokong kerajaan dan ada yang membenci kerajaan dan macam2 lagi.
Jadi di sini saya cuba memberi kupasan ringkas namun secara lebih lanjut tentang sistem percukaian di sini dan manfaatnya kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara Jerman ini.
Siapa dikenakan cukai?
Secara amnya setiap rakyat atau sesiapa yang tinggal dan bekerja di Jerman ini tak kira lah tukang sapu atau makcik penjual sayur berpendapatan melebihi €800 tetap dikenakan cukai cuma ada segelintir yang tidak dikenakan cukai seperti pegawai diplomat asing dan ada yang lain yang saya tidak tahu.
Setiap individu di Jerman akan mempunyai nombor identiti cukai yang diberikan khas setelah lahir. Seperti yang diterima oleh anak saya Khaleef ketika beliau baru memasuki usia 6 bulan. Nombor tersebut telah direkodkan di dalam sistem percukaian negara dan apabila Khaleef ingin bekerja kelak, beliau perlu pergi ke pejabat cukai dan mendapatkan “Tax Card” atau kad cukai yang mana di dalam kad tersebut akan mempunyai butiran terperinci menegenai kadar cukai berdasarkan kelas 1, 2, 3, 4, 5 ataupun 6 yang membezakan orang bujang, berkahwin, mempunyai anak, tanggungan lain dan sebagainya.
Surat dari pejabat cukai yang memberikan nombor identiti cukai kepada Khaleef
Bagi orang seperti saya, harus terlebih dahulu pergi ke pejabat cukai untuk mendapatkan nombor dan kad cukai tadi. Setiap majikan akan meminta kad cukai sebelum memberikan kerja kepada anda. Tanpa kad cukai maka anda tiada kerja. Teringat kisah mula-mula saya memohon kerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel, setelah ditemuduga saya ditawarkan kerja, namun setelah meminta butiran cukai (saya tidak tidak tahu) maka tawaran tersebut ditarik balik. Jadi saya harus ke pejabat cukai untuk mendaftarkan diri dan ditemuduga terlebih dahulu sebelum saya diberikan nombor dan juga kelas atau kategori cukai saya.
Berapakah jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar?
Terdapat beberapa jenis pemotongan yang dibuat setiap bulan yang merangkumi cukai pendapatan(Wage Tax) iaitu :-
Cukai pendapatan itu sendiri (wage tax) – sekitar 19%
Cukai gereja – sekitar 9% (bagi yang beragama kristian)
Surcaj perpaduan (Solidarity surcharge) – sekitar 0.6%
Keselamatan sosial (Social Security) – sekitar 20%
Jumlah keseluruhan cukai+potongan lain yang wajib = 48.6% iaitu menghampiri separuh daripada pendapatan kasar bulanan.
Saya berikan contoh potongan bagi seorang jurutera muda yang bujang dengan gaji berjumlah €3,500 sebulan seperti dibawah:
German Wage Tax table
Bagi yang berkahwin dan mempunyai seorang anak pula, gaji bersih akan menjadi sekitar €2,450 sahaja. Mampukah mereka hidup dengan baki gaji sebanyak itu? Saya pernah membincangkan tentang kos sara hidup di Jerman. Sila baca di sini.
Dapat dilihat jumlah pemotongan cukai tersebut berjumlah €1,407.22 iaitu 40% daripada gaji kasar. Jumlah pemotongan bagi yang berpendapatan bawah dari €1,000 adalah sekitar 21% menjadikan pendapatan bersihnya sekitar €780. Sekiranya seorang pekerja sambilan yang bekerja sebagai pelayan setiap hujung minggu dengan gaji sekitar €450 pun tetap dikenakan pemotongan lain yang bukan cukai pendapatan.
Tiada siapa pun yang akan terlepas dari membayar cukai dan atau surcaj ini yang dipotong terus setiap bulan oleh majikan anda.
Namun dihujung tahun nanti apabila penyelarasan cukai dibuat dan setelah segala pelepasan cukai dikemukakan maka lebihannya akan dipulangkan.
Manfaat yang diterima
Terdapat banyak manfaat yang diterima secara langsung atau tidak langsung melalui pemotongan cukai pendapatan ini. Manfaat ini boleh dilihat dari sudut ekonomi dan juga sosial dan ianya menjadikan Jerman ini sebuah negara maju dengan kuasa ekonomi terbesar di rantau Eropah ini.
Manfaat secara langsung
Manfaat ini dinikmati secara terus oleh rakyat atau pekerja di sini di mana mereka memperolehi:
1. Sistem penjagaan kesihatan yang terbaik.
Tiada klinik atau hospital kerajaan di sini yang ada cuma hospital swasta. Servis yang diberikan adalah terbaik yang mana semuanya dibiayai oleh insurans kesihatan yang dipotong dari gaji dan turut dicarum oleh majikan. Anda akan mempunyai perlindungan perubatan cukup komprehensif (mengikut piawaian antarabangsa) untuk membayar semua perjalanan ke hospital, doktor dan penjagaan pergigian asas dan ubat-ubatan yang ditetapkan dari farmasi.
2. Manfaat Pengangguran
Sekiranya anda hilang pekerjaan, anda akan dibayar 2/3 daripada gaji bersih terakhir anda setiap bulan sehingga anda mendapat pekerjaan baru.
3. Skim pencen
Setelah pencen ketika berumur 65 tahun, pencen akan dibayar setiap bulan berjumlah 70% daripada purata gaji anda.
4. Manfaat Kurang Upaya
Sekiranya anda menjadi seorang yang kurang upaya maka anda akan mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan.
5. Manfaat Kanak-Kanak
Setiap kanak-kanak yang lahir di Jerman layak mendapat “child benefit” berupa elaun tunai yang dimasukkan ke dalam bank setiap bulan berjumlah €184 (RM800) sebulan untuk setiap 2 anak yang pertama, €190 (RM 830) untuk anak ke-3 dan €215 (RM940) untuk anak seterusnya sehingga usia mereka 18 tahun atau sehingga usia mencecah 25 tahun sekiranya mereka masih belajar ketika itu. (sila baca di sini)
6. Manfaat Ibu-bapa
Sekiranya seorang ibu atau bapa mengambil keputusan untuk bercuti tanpa gaji selama 12 bulan bagi menjaga bayi yang baru lahir, elaun berjumlah 67% daripada jumlah gaji bersih akan dimasukkan ke dalam akaun setiap bulan bagi menggantikan gaji yang tidak dapat semasa tempoh bercuti tersebut. Bagi ibu yang tidak bekerja juga akan menerima elaun bulanan sekitar €300 sebulan. (sila baca di sini)
7. Pendidikan Percuma
Pendidikan percuma bermula dari tadika sehinggalah ke universiti.
8. Tiada cukai jalan
Tiada cukai jalan atau roadtax dikenakan terhadap setiap kenderaan yang dimiliki. Harga kereta pun murah.
9. Tiada Tol
Jaringan lebuhraya “Autobahn” tanpa had laju dan tanpa tol diseluruh Jerman.
Manfaat secara tidak langsung
Pelbagai manfaat lain yang diterima secara tidak langsung dinikmati oleh semua rakyat atau sesiap sahaja yang tinggal di Jerman ini. Antara yang paling ketara adalah:
1. Kos hidup yang lebih rendah.
Boleh dikatakan perbelanjaan sewa rumah di sini adalah sama seperti di Kuala Lumpur dengan kadar nisbah 1:1 di mana sekiranya sebuah apartment di Ampang dengan keluasan 900 kaki persegi disewa dengan kadar RM1350 sebulan, maka di Jerman pun kadar yang sama iaitu €1350 sebulan untuk apartment seluas itu. Namun begitu, kos barangan laian seperti bahan mentah makanan, pakaian dan sebagainya adalah lebih murah. Saya pernah emnulis dan membincangkan kos sara hidup tersebut dan anda boleh baca di sini.
2. Kadar jenayah yang sangat rendah
Adalah amat jarang untuk melihat, mendengar atau membaca laporan akhbar atau di sosial media tentang kes ragut, rompak, rogol dan sebagainya. Punca utama jenayah tersebut telah dikekang dari awal iaitu penggangguran, kemiskinan, dadah, minuman keras dan juga seks. Faktor tersebut yang akan menyumbang kepada kadar jenayah di mana-mana negara di dunia ini. Setiap pengganggur diberi elaun serendah €750 sebulan dan setinggi €1500 sebulan berdasarkan kes. Bagi penagih dadah, kedai khas menjual dadah disediakan bagi mengelakkan aktiviti gangsterism yang berebut kawasan bagi mengawal aktiviti pengedaran dadah dan pelacuran. Jadi tiada gangster yang menjual dadah dan tiada kes berbunuhan dan bertembakan. Aktiviti pelacuran turut dikawalselia agar tiada unsur gangsterism dan kes-kes rogol dapat dielakkan.
3. Keselamatan yang terjamin
Tidak perlu risau untuk berjalan kaki seorang diri pada pukul 3 pagi untuk balik ke rumah dari pejabat atau dari mana2 sahaja. Faktor yang dibincangkan di atas menjadi penyebab kepada jaminan keselamatan ini.
4. Hidup yang lebih berkualiti
Wang ringgit bukanlah segalanya bagi rakyat Jerman. Dengan kos sara hidup yang rendah bagi mereka, walaupun bergaji bersih sekitar €1200 sebulan adalah cukup untuk menampung kos hidup di sini. Jadi mereka tidak bekerja secara keterlaluan sehingga lewat malam dan sebagainya. Usai jam 5 petang semua beredar pulang dari tempat kerja masing-masing. Kedai-kedai mula ditutup pada jam 7 malam kecuali restoran dan kafe yg ditutup sekitar tengah malam. Pada hari Ahad, semua kedai ditutup kecuali restoran dan kafe bagi memberi peluang setiap orang untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
———————————————————————————————————————–
Kesimpulannya – cukai adalah tanggungjawab nombor satu semua rakyat atau sesiapa sahaja yang tinggal di Jeman ini. Tanpa cukai, adalah mustahil untuk menjadikan Jerman sebuah negara yang maju. Cukai pendapatan adalah pendapatan ke-3 terbesar kerajaan selain dari cukai-cukai lain. Dengan hasil cukai yang banyak serta pengurusan cukai yang cekap, maka rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Banyak lagi cukai lain yg perlu dibayar oleh rakyat dan mereka yang tinggal di Jerman. Semua servis dan perkhidmatan adalah dikenakan cukai. Hantar kereta pergi servis turut dikenakan cukai. Beli barangan dapur atau barangan harian lain turut dikenakan cukai GST sebanyak 19%.
Selain itu sikap orang Jerman itu sendiri yang berusaha bekerja keras bagi membantu membangunkan ekonomi negaranya. Mereka tahu setiap rakyat ada tanggungjawab masing-masing dan mereka berusaha memenuhi tanggungjawab tersebut. Sikap mereka yang lebih “maju dan islamik“ membuatkan mereka mencapai status negara maju dan menikmati hidup yang berkualiti. Sila baca tulisan saya mengenai sikap “islamik” mereka di sini.
Tulisan ini adalah sedikit perkongsian informasi agar kita sama-sama beroleh pengetahuan. Saya tidak membuat perbandingan dengan negara saya Malaysia dan jauh sekali untuk melecehkan atau memburukkan sistem percukaian atau pentadbiran percukaian di sana. Adalah tidak adil untuk membandingkan Malaysia dengan Jerman yang telah 100 tahun kehadapan dari segi kemajuannya…dan kita kini sedang berusaha menuju ke arah ngara maju. Yang mana baik kita jadikan tauladan dan yang mana buruk kita jadikan sempadan.
Sanggupkah anda membayar lebih dari 40% daripada gaji anda setiap bulan untuk mendapat kemudahan serta menikmati hidup yang lebih baik? ENTAHLAH…I Dont Know! Kredit : khairulabdullah.com
loading...
0 Response to "Cukai Pendapatan & Manfaatnya di Jerman"
Post a Comment