Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?

loading...
KONGSI ILMU FEQAH PUASA

Soalan : Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?

Jawapan :Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat hanya bergantung kepada penggunaan 'inhaler (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan.
Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (keadaan kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib menqqada' semula puasa tersebut.
Lebih banyak persoalan boleh layari :
Di bawah ini dinukilkan ringkasan dan kesimpulan hukum pilihan yang dibuat oleh Dr. Ahmad Al-Khalil:

1- Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.

2-        Ulama' semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (inhaler/penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.

3-        Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa.

4-        Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa.

5-        Ulama' semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
6-        Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya.

7-        Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).

8-        Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya.

9-        Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”.

10-    Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama' semasa, tidak membatalkan puasa.
11-    Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama' semasa tidak membatalkan puasa.

12-    Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama' semasa adalah membatalkan puasa.
13-    Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa.
14-    Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.
15-    Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.
16-    Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan.
17-    Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.
18-    Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit buaasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah.
19-    Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
20-    Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama', tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
21-    Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.
loading...

0 Response to "Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?"

Post a Comment