Ambil Duit Suami Tanpa Kebenaran? Hukum ambil duit suami tanpa kebenaran

loading...

Saya sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang warga asing. Suami ada sediakan makan minum tapi tak pernah memberi wang saku. Dia juga tidak membenarkan saya pulang ke rumah ibu bapa dan memberi wang untuk membeli keperluan diri.

Saya ada ambil duit suami tanpa pengetahuannya tapi sekadar  RM10 ke RM20. Itulah yang saya gunakan bila dia balik ke Pakistan tanpa meninggalkan belanja pada kami. Soalannya bolehkah duit itu saya sedekahkan kepada masjid atau orang memerlukan. Selain itu, bolehkah saya gunakan duit simpanan itu untuk mengerjakan umrah?

Nur Jannah
Pontian, Johor

JAWAPAN

Nafkah adalah satu tanggungjawab suami kepada isterinya dan hukumnya adalah wajib. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah at Thalaq ayat 7.

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberikan nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberikan seseorang melainkan (kadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa Allah telah menetapkan bahawa nafkah adalah tanggungjawab suami dalam kadar yang mampu. Jadi maksudnya ayat di atas dasarnya adalah kemampuan suami. Kadar yang mampu diberikan oleh suami kepada isterinya. Bukan kadar yang dimahukan oleh isteri.


Maksud nafkah adalah keperluan hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain dan ia adalah sesuai dengan keadaan semasa dan tidak bercanggah dengan syarak.

Kadar yang ditetapkan oleh ulama adalah berbeza-beza tetapi Islam telah menyatakan dalam al-Quran . Allah telah berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 19.

“Dan bergaullah kami dengan mereka (isteri-isteri kami dengan cara yang baik).

Maksud dengan cara yang baik adalah jika kemampuan suami boleh memberikan lebih daripada kadar asas yang biasa, maka nafkahnya bolehlah dilebihkan mengikut kadar kemampuannya. Bila kemampuan suami semakin baik maka isteri boleh meminta lebih tetapi jika kadar kemampuan suami sudah semakin menurun maka keperluan isteri hendaklah diselaraskan dengan kemampuan suami tadi supaya keadaannya menjadi stabil dan harmoni.

Pada kadar yang perlu
Kadang-kadang ada isteri dan suami tak dapat selaraskan tuntutan dan kemampuan antara keduanya. Ini akan menimbulkan konflik antara suami dan isteri.

Merujuk kepada persoalan, bolehkah isteri mengambil duit suami kerana keperluan tertentu dan suami hanya membeli barang keperluan dan kadang-kala bila suami tak ada, isteri tak ada duit untuk membeli keperluan makanan, maka ini jawapannya.

Isteri boleh mengambil dari wang suaminya pada  kadar yang perlu. Dalam satu hadis menceritakan tentang Hindun (Isteri Abu Sufyan) mengadu kepada Nabi tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberikan belanja yang cukupi untuk isteri dan anak-anak).

Nabi berkata kepada Hindun, “Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya” (hadis riwayat al Jamaah) namun isteri tidak boleh menyedekahkan duit itu kepada masjid atau memberinya kepada golongan memerlukan kerana duit itu hanya boleh digunakan untuk keperluan dirinya dan anak-anak sahaja.

Hadis menunjukkan, steri boleh mengambil daripada harta suaminya pada kadar yang perlu. Perlu menjadi kebiasaan suami untuk menyediakan bukan sahaja keperluan dari segi barangan tetapi dari segi kewangan yang mampu untuk keperluan isteri dan anak-anak khasnya bila suami tiada di rumah bertugas di luar atau sebagainya, inilah yang dipanggil duit kecemasan. Kadang kita tak jangka perkara-perkara seperti anak sakit, barang dapur habis dan sebagainya apabila suami tiada di rumah. Suami harus berfikir jauh untuk keselesaan isteri dan anak-anak.

Persoalan lain pula adakah suami boleh menghalang isteri daripada menziarahi ibu bapanya. Secara adab dan akhlaknya suami hendaklah membenarkan isteri menziarahi ibu bapanya kerana itu adalah tanda suami menghormati ibu bapa mentuanya, dan supaya hubungan ibu bapa dan menantu berada dalam keadaan harmoni dan baik.

Jika mentua terpaksa bergantung hidup dengan anak perempuannya yang telah berkahwin, suami hendaklah memberi izin kepada isteri untuk menziarahi dan berkhidmat kepada ibu bapanya tanpa menjejaskan hak suami. Jika ia tidak memberi izin tanpa sebab yang munasabah ia berdosa dan jika isteri melanggarnya sebahagian ulama berpandangan isteri tidak dikira nusyuz ketika itu.

Harus isteri membeli belanja dari duitnya sendiri kepada ibu bapanya sekalipun tidak ada izin suami namun eloklah ia meminta izin suaminya sebagai tanda hormat kepada suami.

Sebenarnya dalam kehidupan suami isteri, apa yang penting adalah persefahaman dan saling hormat menghormati dan faham akan situasi isteri dan suami supaya kehidupan berumah tangga aman dan harmoni.
loading...

0 Response to "Ambil Duit Suami Tanpa Kebenaran? Hukum ambil duit suami tanpa kebenaran"

Post a Comment