loading...
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata hukum menjatuhkan pemimpin adalah haram di sisi Islam, selagi pemerintah itu masih berpegang kepada ajaran agama dan tidak mengajak rakyat melakukan maksiat.
Katanya, perbuatan itu dilarang sekalipun pemimpin itu zalim dan tidak memenuhi tuntutan serta hak rakyat.
“Adalah haram jika niat ingin menjatuhkan pemimpin, apatah lagi menghasut rakyat secara terbuka. Islam tidak mengajar begitu.
“Kita sanjung pemimpin, kalau pemimpin tidak betul kita tegur, tidak hebohkan kepada orang lain,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.
Tambahnya, sekiranya ingin menukar pemimpin, ia perlu dibuat menggunakan saluran demokrasi melalui pilihan raya.
Sebelum ini , bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi wawancara bersama media Australia, The Weekend Australian dilaporkan berkata beliau lazimnya tidak mengalu-alukan sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal negara, "tetapi saluran kami mencari penyelesaian dalam negara telah ditutup sepenuhnya".
Dr Mahathir berkata hanya tinggal sedikit harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berundur tanpa tekanan luar.
Mengulas lanjut, Harussani berkata, menjadi kewajipan setiap rakyat untuk mentaati pemimpin, selagi mereka tidak mengajak rakyat melakukan maksiat.
“Sekalipun pemerintah yang dipilih itu zalim, tindakan menjatuhkannya tetap haram dan umat Islam tidak boleh melakukan tindakan sedemikian.
“Sekiranya kita menuntut hak kita, namun tidak diberikan, itu adalah kesalahan pemimpin itu dengan Allah, setiap dosanya akan dibalas kelak,” katanya dipetik akhbar itu lagi.
loading...
0 Response to "Mufti: Haram jatuhkan pemimpin pegang ajaran Islam"
Post a Comment