TMJ buat pusingan U? Mahu bertanding jawatan Presiden FAM

loading...

MELAKA 14 Dis. – Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan bersedia memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam pemilihan kongres persatuan itu, tahun depan.

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, beliau hanya mahu perubahan dilakukan bagi memulihkan kembali imej bola sepak negara, di samping menaikkan kualiti dan integriti terutama pasukan kebangsaan di samping menaikkan standard liga.

Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, semuanya terpulang kepada ahli gabungan badan induk berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan mereka.

“Sebelum ini saya ada memberi kenyataan tidak tertarik dengan-nya, namun majoriti ahli gabu-ngan telah menyatakan mereka ma­hu saya memegang jawatan pre­siden tersebut.

“Saya belum bagi kata putus tentang hal berkenaan, cuma saya hanya orang yang ikhlas mahu bangunkan bola sepak bukan berkenaan jawatan dan kedudukan. Saya hanya mahu yang terbaik sebagai seorang yang benar-benar ikhlas cintakan bola sepak.

“Itu hasrat dan cadangan saya, kita akan tengok macam mana nanti, ­Februari masih jauh lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis persidangan ber­sama ahli-ahli gabu­ngan di Banda Hilir di sini malam tadi.

Beliau berkata, antara misi lain yang perlu diberi perhatian adalah meningkatkan dan memperbaiki bajet setiap pasukan yang bertanding menerusi hak penyia­ran.

“Jadi misi yang pertama adalah meningkatkan dan memperbaiki bajet setiap pasukan yang bertanding kerana kita tidak boleh seperti tidak me­nerima kenyataan tentang masalah itu.

“Memang patut kita mengharapkan penaja tetapi apa yang penting tulang belakangnya adalah hak penyia­ran seperti di negara-negara maju.

“Jika kita dapat selesaikan masalah hak penyiaran ini ia tentu dapat kurangkan beban pasukan yang bertanding,” katanya lagi.

Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka Uni­ted (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan.

Kongres FAM dijangka berlangsung Mac tahun depan, dan setiap calon yang mahu bertanding sebarang jawatan perlu membuat keputusan mengenai pendirian mereka, sebulan sebelum pemilihan.

Selain Tunku Ismail, antara individu yang pernah dikaitkan dengan jawatan berkenaan adalah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat dan tokoh korporat, Datuk Seri Idris Jala.

Bagaimanapun setakat ini, hanya Annuar mengesahkan minat untuk bertanding kerusi panas FAM itu, sementara Tony mengumumkan belum bersedia untuk menjadi calon, manakala Aseh dan Idris hanya membisu.
loading...

0 Response to "TMJ buat pusingan U? Mahu bertanding jawatan Presiden FAM"

Post a Comment