Sebenarnya Tak Batal Wudhu Sentuh Suami Isteri


Adakah batal wudhu bila bersentuhan antara suami isteri. Ada yang berpendapat batal wudhu dan ada yang tidak batal.

Dalam masalah ini para ulama berbeza pendapat (khilaf).

1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termasukk suami dan isteri) membatalkan wudhu dalam apa keadaan sekalipun, samaada sentuhan itu beserta syahwat ataupun tidak. Inilah pandangan mazhab al-Imam al-Syafie R.H.

Dalilnya mazhab pertama antaranya:

i- Ayat al-Quran:

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wudhu.

2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu samaada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi R.H.

Dalil mazhab kedua antaranya:

i. Hukum asal orang yang berwudhu adalah kekal wudhunya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wudhunya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wudhu. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam ertikata kulit dengan kulit semata-mata. Selain itu terdapat hadith yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wudhu, dan hadith-hadith ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadith-hadith tersebut ialah:

ii. Daripada ‘Aisyah r.a:

“Aku pernah tidur dihadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu akupun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

iii. Daripada ‘Aisyah juga:

“Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemuerkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah R.A. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah R.A. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wudhu sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wudhu baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukan jawapan terhadap hadith ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”

3. Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wudhu jika tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali.

Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masaalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwudhu)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wudhu dengan hanya bersentuhan antara lalaki dan wanita, dengan hadith-hadith yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wudhu.

Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat penafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini sepert yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas R.A. dan penafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan penafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding penafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:

Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadith ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)

Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:

“Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (al-Baqarah : 236)

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:

“Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (al-Baqarah: 237)

Di dalam ayat yang lain lagi Allah berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab: 49)

Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih hampir kepada maksud yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dan ulama semasa seperti al-Syeikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, para ulama dari Lujnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama yang lain lagi.

Pendapat Dr. Maza:

“Kalau seseorang itu rasa sentuh batal mengikut mazhab Syafie batal lah. Saya bukan menolak mazhab Syafie, saya mempunyai pandangan yang mungkin berbeza.”

Ini adalah jawapan daripada Dr. Maza dan Ustaz Azhar Idrus

0 Response to "Sebenarnya Tak Batal Wudhu Sentuh Suami Isteri"

Post a Comment