Hukum Makan Ketam Nipah Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan


SOALAN:
Salam ustaz. Nak mintak pencerahan tentang hukum makan ketam nipah. Banyak keraguan dalam masyarakat. Syukran jazilan.

JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

Surah al-A’raf, 7:157
Firman Allah SWT:
كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ
 Maksudnya: "Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu".

(Surah al-Baqarah, 2:57)
Kaedah fiqh menyatakan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman

Rujuk al-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazair (1/60)
Ada beberapa dawabit (prinsip-prinsip) dalam isu halal dan haram daging haiwan :
Pengharaman berdasarkan nas. Contohnya khinzir. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
 Maksudnya:  Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Baqarah, 2:173)


Pengharaman berdasarkan nas yang menyebut kriteria. Contoh haiwan seperti singa, dan burung hering. Daripada riwayat Ibn Abbas R.anhuma:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ، وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang makan semua binatang yang memiliki nāb (taring yang digunakan untuk menyerang) daripada jenis binatang buas, dan burung-burung yang memiliki mikhlāb (cakar).
Hadis riwayat Imam Muslim (1934) dalam Sahih Muslim
Begitu juga dengan binatang mā’ī (binatang yang hidup di dalam air), sama ada baḥrī (dalam laut) atau nahrī (dalam sungai). Sabda Rasulullah SAW:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).
Riwayat Imam al-Tirmidzi (68) dalam Sunan.
Ada juga yang disebut sebagai barmā’ī (yang boleh hidup di dalam air dan luar air). Contohnya buaya dan katak. Ulama Syafieyyah berpendapat hukum makannya haram.
 Pengharaman kerana terdapat racun. Contohnya ular dan kala jengking. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
(Surah al-Baqarah, 2:195)
 Pengharaman kerana mustakhbithah ʿinda al-ʿArab (dilihat buruk memakannya dalam uruf Arab). Contohnya burung gagak dan tikus.

Kenyataan Mufti Wilayah

Ada pun kitam nipah, sebagai mana yang diketahui, binatang ini memang boleh hidup juga di luar air tetapi bukanlah dalam jangka masa yang lama. Ini berikutan ketam nipah adalah haiwan daripada jenis Krustasia (Crustacean) yang merupakan keluarga yang sama dengan udang. Keseluruhan edaran hidupnya di dalam air dan bernafas menggunakan insang dan bukan paru-paru. Oleh itu daripada segi hukum memakannya, ketam nipah termasuk dalam haiwan yang halal dimakan. Jika dibiarkan di luar air, ketam ini dapat bertahan sehingga dua atau tiga hari, kerana dalam insannya mempunyai satu ruang pintu yang boleh ditutup dan mengandungi sedikit air untuk bernafas. Sekiranya air itu kering, ketam nipah akan mati.

Pendapat kami ini sama dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-26 yang bersidang pada 7 – 8 Mac 1990.
Wallahua’lam.

0 Response to "Hukum Makan Ketam Nipah Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan"

Post a Comment