Hassan Din: Majlis Tak Berkat Penceramah Lawak, Nyanyi Hindustan



TELUK INTAN: Penceramah yang menggunakan lawak jenaka dan nyanyian lagu Hindustan perlu menghentikan perbuatan mereka, kata Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz.

Bekas pegawai agama Istana Negara berkata, penganjur kuliah itu juga tidak perlu terlalu ghairah memilih penceramah berkenaan demi menarik jemaah datang ke masjid.

“Orang ramai pun datanglah sebab nak dengar ceramah sebab penceramah tersebut pandai membuat lawak dan menyanyi lagu Hindustan dan majlis tersebut dipenuhi dengan gelak ketawa mereka yang hadir.

“Malah terdapat golongan wanita yang hadir pada ceramah tersebut tanpa segan silu ketawa berdekah-dekah sambil bertepuk tampar.

“Ia boleh mencemarkan imej Islam kerana menjadi majlis yang sia-sia dipenuhi dengan gelak tawa dan tidak mendapat keberkatan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Hassan berkata umat Islam juga perlu diingatkan agar menjaga batas pergaulan mereka dengan tidak bersalaman dengan orang bukan mahram.

Katanya, perbuatan berkenaan diharamkan dalam Islam dan perlu dielakkan daripada berleluasa dalam masyarakat.

“Perkara ini seperti sudah menjadi satu adat bila lelaki dan wanita Islam di negara ini bertemu, mereka akan bersalam sedangkan tiada apa-apa hubungan sah terutama melibatkan pemimpin dan rakyat.

“Saya sering perhati bila ada wakil rakyat atau menteri lelaki hadir program dan majlis, wanita Islam berebut bersalam kononnya menghormati pemimpin tersebut,” beliau dilaporkan berkata.

1 Response to "Hassan Din: Majlis Tak Berkat Penceramah Lawak, Nyanyi Hindustan"