Apa Kata Peguam Tentang Pengagihan Wang Sumbangan Terhadap Anak Mangsa Kemalangan Duke


Saya terpanggil untuk memberikan sedikit komen dan pandangan dari sudut perundangan tentang isu yang sedang viral sekarang berkenaan dengan wang sumbangan orang ramai kepada anak-anak mangsa kemalangan maut di lebuhraya DUKE tahun lalu.

Isu tersebut timbul apabila salah seorang kakak kepada arwah mendakwa bahawa wang sumbangan yang didepositkan oleh orang awam dalam akaun dua orang adik beliau telah tidak diagihkan sepenuhnya untuk tujuan perbelanjaan dan kebajikan anak-anak mangsa.

Walaubagaimanapun, kedua-dua mereka mendakwa bahawa, berdasarkan pandangan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, wang tersebut adalah milik dan hak mereka sepenuhnya kerana ianya di depositkan ke dalam akaun mereka sendiri, bukannya atas akaun anak-anak tersebut.

Maka isu yang timbul dalam kes ini adalah:

1. Sama ada kedua-dua adik beradik tersebut dianggap sebagai pemegang amanah (trustees) kepada anak-anak saudara mereka.

2. Sama ada wang sumbangan orang awam yang didepositkan kedalam akaun kedua-dua mereka tersebut dianggap sebagai harta amanah (trust property).

Jika jawapannya ya, maka apakah kesan terhadap tindakan mereka tersebut dari segi perundangan?

Akta Pemegang Amanah
Sebenarnya, kalau kita rujuk kepada Akta Pemegang Amanah (Trustees Act) 1949 (selepas ini disebut sebagai “Akta tersebut”), secara ringkasnya, perkataan pemegang amanah itu didefinisikan sebagai:

“Mana-mana pihak, termasuklah wakil individu, yang mewakili sesuatu pihak yang berkepentingan (benefesiari) untuk sesuatu tujuan tertentu”.
Maka dalam kes ini, saya berpandangan, untuk menentukan sama ada kedua-dua bapa saudara anak-anak arwah tersebut adalah pemegang amanah yang sah atau sebaliknya, kita perlu lihat kepada persoalan adakah tindakan mereka memberikan nombor akaun kepada orang ramai untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ke dalam akaun tersebut dianggap secara tersiratnya sebagai mewakili atau bertindak bagi pihak anak-anak saudara mereka, atau tindakan tersebut hanya untuk diri mereka semata-mata?

Jika jawapannya ya, maka sudah pastilah dalam keadaan tersebut mereka bolehlah dianggap sebagai pemegang amanah bagi pihak anak-anak mangsa tersebut.

Dan justeru itu, wang sumbangan orang ramai kedalam akaun mereka bolehlah dianggap sebagai wang amanah bagi pihak anak-anak mangsa, dan bukannya wang peribadi mereka.

Anda mungkin akan berkata, jika bukan dek kerana bersimpati dengan anak-anak mangsa, sudah pasti orang awam tidak akan sewenang-wenangnya mendepositkan wang kedalam akaun mereka.

Bahkan jika bukan kerana anak-anak mangsa juga, tiada sebab untuk orang awam menjadi “begitu pemurah” untuk mendepositkan wang sumbangan dalam akaun orang yang tidak dikenali.

Justeru, tindakan orang awam mendepositkan wang kedalam akaun mereka berdua adalah kerana mempercayai bahawa kedua-dua mereka adalah orang yang diamanahkan untuk mewakili anak-anak yatim tersebut.

Tanggungjawab Pemegang Amanah
Mungkin netizen akan melihat, di situlah wujudnya ikatan mereka sebagai pemegang amanah secara tidak lansung, walaupun mungkin kedua-dua mereka tidak pernah mendakwa secara verbal yang mereka adalah pemegang amanah bagi pihak anak-anak saudara mereka.

Persoalan ini saya serahkan kepada pembaca sekalian untuk membuat tafsiran.

Baik, sekarang mari kita lihat pula apakah tanggungjawab seorang pemegang amanah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta tersebut.

duke-02

Di antara tanggungjawab seorang pemegang amanah termasuklah:

1. Tanggungjawab untuk bersifat amanah, setia, jujur dan tidak membuat sebarang keuntungan peribadi terhadap harta amanah.

2. Tanggungjawab untuk menjaga dengan sebaiknya harta amanah tersebut.

3. Tanggungjawab untuk melaburkan harta amanah tersebut secara sah mengikut undang-undang untuk kepentingan benefesiari.

4. Tanggungjawab terhadap benefesiari untuk mengagihkan harta amanah teraebut kepada mereka.

5. Tanggungjawab untuk menanggung pengurusan harian dan kebajikan benefesiari terutamanya yang bawah umur.

Maka daripada apa yang digariskan tersebut, sekiranya benar kedua-dua mereka dianggap sebagai pemegang amanah, adalah menjadi kewajipan kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab mereka sebagai pemegang amanah seperti di atas.

Kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab di atas, termasuklah kegagalan mengagihkan wang sumbangan orang ramai tersebut bagi kepentingan anak-anak arwah, mungkin bolehlah dianggap sebagai Pecah Amanah (Breach of Trust).

Tindakan Yang Boleh Diambil
Jadi apakah tindakan yang boleh diambil untuk merungkai kes di atas?

1. Secara peribadi saya berpendapat, bagi kedua-dua bapa saudara tersebut, untuk mengesahkan kedudukan mereka sama ada mereka adalah pemegang amanah kepada anak-anak mangsa atau sebaliknya, mereka wajar memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mendapatkan pengesahan atau arahan (direction) dari pada Mahkamah tentang status dan kedudukan sebenar mereka.

Perkara ini dibenarkan di bawah Akta tersebut.

Secara tidak langsung mereka dapat membersihkan nama baik mereka setelah diviralkan di media massa dan media online yang seolah-olah mereka adalah orang yang tidak amanah.

Kenyataan Mufti Wilayah, Rujuk sini.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH, RUJUK SINI.

2. Saman fitnah juga mungkin boleh diambil oleh mereka terhadap kakak mereka atas kenyataan yang telah dikeluarkan.

Biarlah Mahkamah yang menentukan kedudukan sebenar mereka dan biarlah Mahkamah juga yang menentukan sama ada kenyataan yang dikeluarkan oleh kakak mereka adalah fitnah atau fakta sebenar.

3. Cuma untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan terperinci sama ada wujudnya elemen Pecah Amanah telah dilakukan oleh kedua-dua mereka atau sebaliknya, para penderma berhak membuat laporan polis terhadap kedua-dua mereka.

Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak polis di bawah Seksyen 405 Kanun Kesiksaan atas tuduhan Pecah amanah Jenayah (Criminal Breach of Trust).

4. Jika terbukti bersalah mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Kesiksaan iaitu penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, sebatan dan boleh juga didenda.

Sekian, terima kasih.

Penafian:

Kenyataan di atas hanyalah sekadar panduan umum dan hanyalah pandangan peribadi penulis semata-mata berdasarkan pemahaman dan rujukan ringkas penulis terhadap berita yang disiarkan di media massa dan media online beserta peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Ianya tidak dalam apa jua keadaan sekalipun dianggap sebagai satu nasihat perundangan kepada mana-mana pihak dan tidak akan mewujudkan apa-apa ikatan atau liabiliti perundangan antara peguam dan anak guam kepada para pembaca dan pihak-pihak yang terbabit.

Penulis juga tidak akan bertanggungjawab di atas segala masalah atau kerugian atau kesusahan yang dialami oleh pembaca atau mana-mana pihak susulan daripada kenyataan di atas.

Pembaca dan pihak-pihak terbabit dinasihatatkan mendapatkan nasihat perundangan kedua daripada peguam yang dilantik secara rasmi untuk kes yang dihadapi.

0 Response to "Apa Kata Peguam Tentang Pengagihan Wang Sumbangan Terhadap Anak Mangsa Kemalangan Duke"

Post a Comment