10,000 Drebar Teksi Pulang Balik Kereta, Tidak Tahan Penangan GrabCar, Uber

loading...

TIDAK tahan saingan sengit perkhidmatan pengangkutan online seperti GrabCar dan Uber, kira-kira 10,000 pemandu teksi konvensional di Lembah Klang bertindak memulangkan semula kereta mereka kepada syarikat dan pengusaha teksi sejak sebulan lalu.

Reaksi terbaru pemandu teksi itu dilaporkan secara eksklusif oleh portal theSun, kelmarin (09 Oktober). Walaupun syarikat teksi cuba membuat tawaran berupa diskaun bayaran muka dan pengurangan kadar sewa harian sejak enam bulan lalu, tetapi masih gagal menghalang hasrat ribuan pemandu teksi memulangkan semula kereta mereka.


Menurut theSun, sejak Mei tahun ini, syarikat teksi sudah mengurangkan bayaran muka bagi pajakan teksi bajet daripada RM8,000 dan seorang penjamin kepada bawah RM2,500 tanpa penjamin. Sewa harian pula dikurangkan daripada RM55 kepada RM40 bagi kereta jenis Proton Persona.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Bumiputera Malaysia (PERBUMI), Datuk Mohd Alias Abdul memberitahu akhbar itu, banyak pengusaha dan syarikat teksi melaporkan jumlah serahan semula kereta yang tinggi.

“Kita tidak bercakap mengenai kereta lama saja, tetapi kereta baru juga. Antara 10 dan 30 peratus daripada jumlah teksi (35,000) di Lembah Klang dikembalikan kepada pengusaha sejak tiga hingga empat minggu lalu,” katanya.

Menurut Mohd Alias lagi, tindakan memulangkan semula teksi pajakan itu berpunca daripada pengenalan aplikasi pengangkutan online yang menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas teruk kira-kira 40 peratus. Malah, tambahnya, ada sesetengah kes pengusaha teksi pula terpaksa menanggung tunggakan sewa harian pemandu teksi selama beberapa bulan.

“Kami sudah beri mereka (pemandu teksi) banyak peluang. Sesetengah mereka ada tunggakan bayaran sewa lima atau enam bulan walaupun notis dan amaran diberikan,” katanya.

CUMA TEKSI BAJET TERJEJAS

Sementara itu, jurucakap pengusaha teksi New Supercab Sdn Bhd yang hanya mahu dikenali sebagai Valerie, mengesahkan situasi penyerahan semula teksi secara besar-besaran kerana tunggakan sewa sejak beberapa bulan lalu.

“Saya ada cakap dengan pemandu teksi kami, dan rata-rata mereka beritahu kesukaran bersaing dengan Uber dan GrabCar, serta mendapat cukup pendapatan untuk diri sendiri,” katanya.


Sementara itu, tinjauan dilakukan theSun di bangunan syarikat itu dekat Glenmarie, Shah Alam menemui kira-kira 200 teksi yang kebanyakannya dikembalikan, diparkir sekitar bangunan di situ dan dekat kawasan lapang bersebelahan.

Bagaimanapun, pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, syarikatnya tidak berdepan masalah sama kerana syarikatnya mengusahakan perkhidmatan teksi premium kerana kumpulan yang banyak terjejas ialah teksi bajet.
loading...

0 Response to "10,000 Drebar Teksi Pulang Balik Kereta, Tidak Tahan Penangan GrabCar, Uber"

Post a Comment