loading...
Isu yang cuba dibangkitkan ialah stigma masyarakat yang menganggap keputusan membeli kereta terpakai sebagai tidak berbaloi. Seringkali apabila kita terfikir dan menyuarakan hasrat mahu membeli kereta terpakai dengan alasan bajet atau mahu berjimat, ada saja pendapat yang meminta anda berfikir banyak kali.
Antara nasihat paling popular ialah; kos senggara (maintenance) tinggi, bahaya kalau terbeli kereta kemalangan, kereta cepat rosak (kena selalu baiki), faedah bank tinggi (kalau buat pinjaman) dan nampak lekeh bawa kereta terpakai kerana anda seorang eksekutif.
Tetapi, apakah mereka peduli tentang ansuran bulanan dan kos lain yang perlu anda tanggung sehingga 9 tahun (ikut tempoh pinjaman)? Apakah mereka yang memandu kereta anda? Apakah kereta anda akan kekal baharu selama setahun? Jawapannya, TIDAK. Anda juga yang menanggung segalanya.
Jika betul anda berhasrat mahu beli kereta terpakai, teruskan! Sekarang kami akan bantu anda memilih kereta terpakai yang berbaloi!
1. TETAPKAN BAJET
Anda perlu tetapkan bajet kewangan supaya tidak tersasar atau menerawang jauh tanpa arah tujuan. Kalau bajet anda cuma Proton Saga, tidak perlulah membuang masa melihat senarai harga Porsche 911. Katakan bajet anda RM20K.
2. BUKA KALKULATOR PINJAMAN KERETA
Kami guna kalkulator online di SINI. Isi maklumat harga kereta (RM20K), bayaran muka (RM5K), kadar faedah (4%) dan tempoh pinjaman (48 bulan @ 4 tahun). Sekarang, total ansuran bulanan anda ialah RM338.68/bulan.
3. SURVEI ONLINE ATAU BUKA MAJALAH, JANGAN KE KEDAI
Buat survei di laman web seperti Mudah atau Carlist, atau beli majalah seperti MotorTrader. Menerusi tetapan had bajet RM20K, anda secara automatik akan dipaparkan pelbagai pilihan model kereta di bawah bajet tersebut.
Ingat, jangan terus pergi ke premis kereta terpakai untuk mengelak ‘dipukau’ jurujual. Hati-hati, jurujual yang bagus mampu membuatkan anda melanggar had bajet. Sedar tidak sedar bajet RM20K sudah bertambah jadi RM30K. Layari saja Internet. Lebih selamat dan selesa.
4. HADKAN TAHUN PENGELUARAN 5 TAHUN KE BAWAH
Memang banyak pilihan kereta dengan bajet RM20K. Anda mungkin rambang mata. Tetapi jika anda mencari kereta yang kurang ragam, mungkin anda perlu kecilkan pilihan kereta mengikut tahun pengeluaran setakat 5 tahun (2011). Ini cuma opsyen. Sebenarnya ada saja kereta berusia lebih 5 tahun dalam kondisi baik. Tetapi, anda sekarang sedang cuba mengurangkan risiko.
5. SEMAK PERBATUAN (MILEAGE)
Kereta yang jauh atau kerap berjalan, secara normal akan cepat haus dan lusuh. Lagi tinggi nilai perbatuan (jauh berjalan), lagi rendah nilai jual semula kereta itu. Cari kereta pada perbatuan rendah atau sederhana.
6. CURIGA HARGA MURAH
Jangan cepat teruja jika ada kereta dijual sangat murah. Sesiapa pun mahu menjual kereta mereka pada harga tinggi atau harga pasaran. Jika terlampau murah, mesti ada udang di sebalik batu.
Banyak kes menunjukkan kereta dijual murah disebabkan perkara berikut:
- Pernah kemalangan teruk
- Perbatuan terlalu tinggi
- Banyak kali bertukar pemilik (3-4 orang).
Kereta mungkin nampak cantik, tetapi ragam sebenar mula kelihatan selepas beberapa bulan memandu.
7. CARI PEMILIK SEBENAR
Inilah untungnya jika membuat survei online. Anda dapat mencari kereta yang dijual oleh pemilik terus (direct owner). Kenapa perlu pemilik terus? Ini kerana mereka tidak pandai menipu. Anda boleh cuba mengorek rahsia keretanya atau menyoal apa sahaja. Mana tahu pernah kemalangan? Bersembanglah dengan mesra mengenai kos senggara dan bengkel pilihannya selain bertanya mengenai alat ganti yang pernah atau baru ditukar.
Harga pemilik sebenar mungkin sedikit mahal, tetapi masih ada ruang rundingan. Tambahan lagi jika anda datang dengan kuasa tunai. Ingat, cash is king!
8. MINTA JADUAL SERVIS
Pemilik yang menyimpan buku jadual servis, termasuk resit alat ganti atau baik pulih ialah mereka yang peduli tentang kereta. Ada pemilik yang menjadikan pusat servis sah sebagai bengkel rasmi dan ada yang sekadar menyenggara kereta di bengkel biasa. Terpulang kepada anda asalkan dia dapat berikan jadual rutin servis yang lengkap.
Maklumat servis sangat penting untuk mengenal pasti ragam kereta. Anda dapat tahu jenis masalah yang kerap berulang. Apakah alat ganti yang sering ditukar? Apakah ada kerosakan major membabitkan kotak gear atau enjin?
9. PERIKSA RUPA LUARAN & DALAMAN
Anda perlu cerewet sedikit walaupun bukan kereta baharu. Lihat luaran dan dalaman kereta. Warna kereta mungkin pudar sedikit, tetapi janganlah teruk sangat dan ada kemek di sana sini. Kerusi biarlah bersih dan tiada kesan tompokan air tumpah merata-rata.
Jika ada, minta diskaun. Cucian dan gilap menelan belanja hingga RM200. Cat penuh seluruh badan kereta memerlukan RM1K – RM2K, manakala upah mengetuk badan kereta bermula serendah RM150 ke atas (ikut tahap kemek). Minta kurang harga jika pemilik tidak mahu betulkan.
10. PERIKSA KELENGKAPAN & PERALATAN
Sila pastikan segala kelengkapan dan peralatan berfungsi dengan baik seperti:
- Lampu tinggi dan rendah, signal, kabus, lampu kabin (di siling) dan amaran (hazard light)
- Penyaman udara
- Hon
- Radio dan pemain cakera padat (CD)
- Hendal pintu dan glove-box (laci dashboard)
- Tuil atau penetap cermin sisi
- Suis tingkap kuasa
- Soket 2.4V / palam pencucuh rokok
- Tuil tangki minyak, bonet dan but
- Pelaras kerusi dan tali pinggang keledar
- Tayar simpanan dan kotak alatan (tools box)
11. PERIKSA ENJIN
Jangan terus hidupkan enjin. Ada 2 peringkat perlu diperiksa.
Peringkat 1, buka bonet dan pastikan:
- Tiada kesan minyak bocor
- Tiada kabel sambungan elektrik reput atau terputus
- Tiada komponen material getah yang tertanggal, melecur, melepuh, haus dan rosak
- Tiada bahanasing dalam radiator. Buka penutup dan lihat air radiator sama ada keruh atau jernih.
- Tiada bahanasing dalam minyak enjin. Tarik indikator minyak enjin dan lihat rupa minyak (cair, pekat, ada serbuk besi, dan lain-lain).
Peringkat 2, hidupkan enjin dan pastikan:
- Semua indikator pada panel meter menyala dan terpadam (seperti beg udara, suhu, enjin, ABS, dan lain-lain).
- Lihat asap yang keluar daripada ekzos. Jika keluar sedikit percikan air dan asap tidak berwarna atau biru sedikit itu bermakna enjin kereta dalam keadaan sihat.
- Tekan minyak pada 3,000RPM, 4,000RPM dan 5,000RPM. Setiap tahap dibuat secara ligatan (rev) enjin, iaitu tekan hingga mencapai tahap RPM diperlukan dan terus lepaskan pedal minyak. Meter RPM untuk enjin yang baik akan turun sekata bersama deruman lancar (tidak tersekat atau terbatuk).
12. PANDU UJI
Tidak kira sama ada anda berunding dengan pemilik terus atau penjual kereta terpakai, anda sebenarnya ada hak untuk meminta dibenarkan memandu uji kereta yang mahu dibeli. Memandu uji di sini bukanlah setakat menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak. Kereta pilihan anda itu mesti bergerak. Pada tahap ini telinga anda memain peranan penting, termasuk deria lain. Apa yang anda perlu lakukan ialah:
- Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan. Dengar jika ada sebarang bunyi aneh keluar.
- Cari selekoh dan belok. Dengar jika ada keluar bunyi ketika memusing stereng.
- Redah kawasan tidak rata. Sama juga, dengar jika ada sebarang bunyi aneh di bahagian tayar atau dalam kabin.
- Pandu dalam pelbagai halaju (60-110kmj). Pasang telinga dan rasai jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi.
- Gerakkan setiap takah gear. Jika manual, pastikan setiap takah gear (1-5/6) dapat ditukar lancar. Jika Auto, pandu kereta dalam tetapan D4, D3 atau D2, termasuk R. Pastikan setiap takah gear dapat ditolak atau ditarik masuk dengan lancar dan tidak tersekat atau tersentap.
13. NEGO SAMPAI JADI
Kalau sudah puas hati, apa lagi. Rundinglah sampai jadi!
loading...
0 Response to "Panduan Membeli Kereta Terpakai bagi Mengelak DiTipu Salesman"
Post a Comment