'Kemasukan Artis Luar (Najip Ali) Ganggu Periuk Nasi Kami' - Zed Zaidi

loading...

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menuntut tiga lagi panel rancangan hiburan OK Chope! iaitu Sam See, Rishi Budhrani dan Mike Kassim serta pengacaranya, Vernetta Lopez, turut membuat permohonan maaf.Ini susulan tindakan mereka mempersendakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, ketika muncul dalam episod ke-26 rancangan hiburan terbabit.

Menerusi rancangan itu, pesertanya diminta melengkapkan tajuk berita berkaitan Perdana Menteri, iaitu Najib slams__________for threatening Malaysia's progress. Perkataan asal yang tertinggal pada berita itu ialah 'fake news'.

Presidennya, Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi, berkata walaupun sebelum ini stesen penyiaran Mediacorp 5, dan pengacara terkenal Singapura, Najip Ali, sudah pun membuat permohonan maaf, mereka menganggap kenyataan itu sebagai tidak ikhlas.

"Memang stesen TV dan Najip Ali sudah membuat permohonan maaf, tetapi tiga lagi panel termasuk pengacaranya tidak membuat tindakan sama. Jadi, kami tidak boleh menerima permohonan maaf yang dilakukan."Malah, kami menganggap tindakan mereka sebagai tidak ikhlas selagi semua yang terbabit dalam program itu tidak membuat permohonan maaf," katanya.

Zed berkata demikian ditemui ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.Turut serta, setiausahanya, Hafiz Nafiah, dan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Rahim Jailani. Kata beliau lagi, perkara itu perlu dijadikan sebagai pengajaran kepada artis luar yang turut mencari rezeki di Malaysia, agar tidak membuat tindakan sesuka hati selain perlu mengikut undang-undang di sini.

"Dalam masa terdekat ini juga, kami akan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar melakukan melakukan tapisan lebih ketat terhadap kemasukan artis luar yang mencari rezeki di Malaysia."Malah dalam data SENIMAN juga, Najip Ali tidak berdaftar sebagai ahli.

Jadi, kami beranggapan stesen TV yang membuatkan permit kerja untuknya. Namun, ia tidak mengikut garis panduan ditetapkan, jadi saya anggap perkara ini masih tidak selesai," katanya.Katanya juga, sebagai persatuan industri seni, mereka akan terus mendesak dan mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap artis luar yang cuba menjatuhkan imej negara.


"SENIMAN bertanggungjawab untuk memastikan industri seni di Malaysia terus dihormati. Jadi sebagai badan bukan kerajaan (NGO), kami akan terus menyuarakan dan mendesak kerajaan agar turut memandang perkara ini secara serius."Kemasukan artis luar ini juga sebenarnya turut mengganggu periuk nasi penggiat seni tempatan. Malah, perkara yang berlaku ini juga mencemarkan imej negara," katanya

loading...

0 Response to "'Kemasukan Artis Luar (Najip Ali) Ganggu Periuk Nasi Kami' - Zed Zaidi "

Post a Comment