Bodyguard Yasser Arafat Dulu Orang Malaysia, Pasti Anda Terkejut Jika Mengetahui Siapakah Beliau

loading...

Kalau kat peringkat dunia, ramai yang kenal dengan nama Fidel Castro ataupun Malcolm X yang masing-masing berjuang akan demi masyarakat mereka. Tapi kat Malaysia sendiri, korang percaya tak kalau kami kata ada pejuang rakyat yang sama hebat?

Mungkin ramai antara kita yang jarang dengar nama Yunus Lebai Ali. Dilahirkan pada 1951, dia merupakan seorang aktivis yang berpengaruh dalam dunia perjuangan rakyat sejak tahun 70-an lagi. Walaupun Yunus Ali kini dah pergi meninggalkan bumi ini, semangat perjuangannya telah disambung oleh isterinya (yang mungkin korang lebih kenal) iaitu Maria Chin Abdullah.

Sekali imbas macam guru BM kesayangan kat sekolah. Gambar dari Youtube
Jadi untuk mengenang sumbangan Yunus Ali, di sini kami menyenaraikan apa yang dia telah buat terhadap negara dan juga dunia.

1. Menganjurkan demonstrasi 1974 kerana keadaan ekonomi yang sangat teruk

Pada tahun 1974, Malaysia yang baru je lepas pilihanraya telah digemparkan dengan kenaikan harga barang, dipercayai hasil daripada ekonomi yang teruk. Antara yang kena tempias kejatuhan ekonomi tu adalah warga petani Kedah di mana mereka terpaksa makan ubi kayu yang beracun sehingga terjadi beberapa kes kematian (namun kejadian ini telah dinafikan oleh kerajaan).

Yunus yang bekerja sebagai pensyarah sambilan sering melibatkan diri dengan persatuan mahasiswa di UM dan dialah yang selalu menyelesaikan permasalahan student. Jadi bila kes kat Kedah tu telah sampai ke KL, Yunus bersama pensyarah lain dan para pelajar telah mengaturkan sebuah demonstrasi besar-besaran.

Demonstrasi yang terjadi pada 1974. Gambar dari Twitter.com

Penglibatan Yunus tu telah menarik beberapa nama yang kita kenal sekarang seperti Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim, Shabery Cheek, Zahid Hamidi dan ramai lagi. Seramai 10 ribu pelajar telah join demonstrasi besar-besaran sebagai tanda protes terhadap kerajaan. Malah time tu takde lagi undang-undang yang ketat dari menghalang student untuk melibatkan diri dalam dunia politik macam sekarang ni.

FRU telah menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk meredakan kumpulan pelajar yang ramai tu. Akhirnya seramai 1128 pelajar telah ditangkap di bawah Akta ISA.

Walaupun perisai tu diperbuat dari rotan, tapi kalau dah kena hentak sakit jugalah. Gambar FRU ni telah di ambil dari alditta.blogspot.my.

Namun penangkapan beramai-ramai tu langsung tak menghentikan semangat pelajar lain dan juga warga UM termasuk Yunus sendiri untuk meneruskan demonstrasi di dalam kampus. Kali ni FRU telah serbu masuk ke UM dan melakukan operasi pencarian menyeluruh untuk menangkap sesiapa yang terlibat dengan demonstrasi tu.

Tapi dia telah terselamat apabila berjaya melarikan diri masuk ke hutan bersama Hishamuddin Rais dan berlari ke rumah kawan mereka, Dr Rohana Ariffin kat Bangsar sebelum menyambung perjalanan ke luar negara.

2. Pernah jadi bodyguard Yasser Arafat dan terlibat dalam perang Palestin

Sebelum melarikan diri dari Malaysia, Yunus telah berkawan dengan seorang ahli Duta Palestin di Kuala Lumpur. Mamat ni jugalah telah bertanggungjawab membawa Yunus ke Beirut dimana dia telah terima latihan ketenteraan selama enam bulan sebelum join Force 17, iaitu sebuah unit komando untuk tentera Palestin yang berada di bawah kepimpinan Yasser Arafat (kau hado!). Dan disebabkan tu, Yunus merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah join Palestine Liberation Organization (PLO).

Ni lah rupa Yunus time dia muda-muda dulu. Masa ni dia kat Palestin bekerja untuk Yasser Arafat. Gambar dari sampahseni.blogspot.my

Sewaktu berkhidmat dengan Force 17, Yunus telah dinaikkan pangkat dimana dia telah menjadi salah seorang pengawal peribadi Yasser Arafat, fuh hebat mamat ni. Time dia kat Palestin, Yunus telah terlibat dengan beberapa konflik kat sana seperti peperangan Palestin-Israel dan juga Perang Saudara Lebanon.

Objektif utama Yusuf kat Palestin adalah untuk membantu orang sana melawan Zionis.  Apa yang menarik adalah sewaktu di sana, Yunus ada bagitau yang dia telah ‘menumbangkan’ lebih ramai orang Arab dari orang Zionist sendiri, ni adalah gara-gara Perang Saudara Lebanon sedang berlaku.

Perang Saudara ni bermula apabila sekumpulan orang dari parti politik Phalangist (parti untuk orang Kristian di Lebanon) telah mati ditembak di Beirut. Tanpa sebarang penyiasatan, keesokanya orang Phalangist ni telah menyerang sebuah bas yang dipenuhi dengan orang Palestin. Disitulah bermulanya perang saudara Lebanon.

lebanon-civil-warGambar dari reddit.com
Walaupun nampak macam orang Kristian berperang dengan orang Islam, ia tak semudah itu. Ia sebenarnya lebih kepada perang parti politik yang secara kebetulan mempunyai majoriti agama. Masa hari awal peperangan tu, Yunus tak terlibat sangat tapi bila kerajaan bersetuju untuk menggerakkan tentera utama time tu dia telah angkat senjata.

Musuh utama dia pula adalah orang Phalangist. Berdasarkan sebuah artikel yang telah dipetik dari majalah Korea Selatan, Yunus berkata bahawa orang Phalangist ni mendapat latihan dan senjata dari kerajaan Zionis. Jadi untuk counter orang Phalangist, Yunus bersama PLO telah menggunakan taktik gerila.

Selepas beberapa tahun berjuang kat Palestin, Yunus telah pindah ke England. Kat situ, Yunus telah sambung belajar dan berjaya mendapat segulung ijazah untuk subjek sosiologi dan yang paling penting, dia telah bertemu dengan isterinya – Maria Chin Abdullah.

Nota tambahan dari komen Dr Rohana: Yunus dan Maria menikah di Pulau Pinang lepas Yunus keluar dari Operasi Lalang.

Pertemuan Yunus dan Maria Chin Abdullah buat dia rileks sekejap dari kerja-kerja aktivis. Lepas England, Yunus pulang semula ke Malaysia dan meneruskan kerjanya tapi timing dia tak berapa cantik sebab time tu kerajaan tengah sibuk dengan Ops Lalang di mana Yunus telah menjadi mangsa.

3. Menubuhkan organisasi untuk menegakkan hak wanita dan kanak-kanak

Walaupun ditangkap oleh pihak berkuasa ia langsung tak mematahkan semangat Yunus. Lepas keluar dari penjara, Yunus telah dilantik untuk menjadi pengarah eksekutif untuk sebuah badan NGO yang diberi nama Empower.

Empower ni merupakan sebuah organisasi dimana mereka menjaga kebajikan wanita dan kanak-kanak. Inisiatif ni dijalankan selepas tragedi tsunami 2004 dimana seramai 300 ribu orang telah mati di serantau Asia. Dengan penubuhan Empower ni, Yunus and the gang telah membantu mangsa tsunami terutama sekali di kawasan Langkawi dan Sungai Petani.

Sewaktu operasi tsunami tu, mereka sedar yang golongan wanita ni antara yang susah untuk terima pampasan, jadi mereka telah kembangkan perjuangan mereka dalam menegakkan hak wanita dan kanak-kanak.

Hasil perjuangan Yunus dan rakan-rakan dia telah mendapat perhatian beberapa NGO lain dimana Empower telah mendapat sokongan yang padu terutama sekali dari persatuan keagamaan. Dan memandangkan isteri dia merupakan orang kuat Bersih, Empower telah bergabung dengan mereka untuk menentang korupsi.


Persatuan yang pada mulanya ditubuhkan untuk membantu golongan susah telah menjadi sebuah badan perjuangan hak asasi manusia. Time ni Yunus dah start berjinak ke dalam dunia politik, bukan sebagai ahli politik tapi lebih kepada badan pemerhati untuk pilihanraya. Untuk memudahkan Yunus dan geng dia untuk bergerak, mereka telah mendaftarkan sebuah persatuan baru iaitu National Institute for Electoral Integrity (NIEI).

Antara misi terawal Yunus dengan NIEI adalah di Sabah. Mereka telah mengadakan sesi mendidik pengundi pasal pilihanraya dan kemudian mengembangkan operasinya ke Sarawak. NIEI juga berkesempatan menjadi badan pemerhati untuk pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan banyak lagi.

4.Terlibat dalam menegakkan demokrasi di seluruh dunia

Kat sini, ada satu persatuan bernama ANFREL, iaitu sebuah badan pemerhati yang bertindak lebih kurang sama macam NIEI tapi merangkumi satu Asia. Mereka telah menjemput Yunus untuk sertai mereka dalam misi pemerhati dan antara tempat yang telah Yunus ikut adalah di Timor Leste, Fillipina, Afghanistan, Korea Selatan, dan banyak lagi.

Yunus (Baju putih) kasi kata-kata semangat kat team dia. Gambar dari youtube.
Time kat Fillipina, Yunus telah dipilih untuk mengetuai misi tersebut. ANFREL telah bergabung dengan Autonomous Region of Muslims in Mindanao (ARMM) untuk menyelesaikan masalah pilihanraya di negara tu. Korang boleh tengok laporan ANFREL kat sini.  Hasil kerja Yunus dengan ANFREL ni telah mendapat perhatian media antarabangsa di mana Yunus telah ditemu ramah oleh BBC dan juga Channel News.

Salah satu sebab pilihanraya ni mendapat perhatian adalah kerana situasi di negara tu. Golongan kampung terutama sekali di Mindanao menghadapi kesukaran untuk keluar mengundi kerana kekurangan transport dan juga pergaduhan antara ketua kampung masing-masing. Ini menyebabkan beberapa kawasan kat Filipina tak sesuai dijadikan kawasan mengundi.


Sebelum tu, terdapat jugak kes bekas Presiden Fillipina telah terbabit dengan penipuan sewaktu mengira peti undi. Untuk menyelesaikan masalah ni, ANFLER telah masuk dan bergabung dengan pihak kerajaan tempatan. Tak cukup dengan tu, mereka juga telah mendapat bantuan dari Canadian International Development Agency (CIDA) dari segi lojistik. Power si Yunus ni sampai mat salleh pun jadi anak buah dia tu

Pada tahun 2009, Yunus sekali lagi telah berbakti kepada ANFLER apabila dia dipanggil untuk menjadi badan pemerhati di Afghanistan. Kita semua tau yang Afghanistan time tu (malah sekarang) telah hancur akibat peperangan antara Taliban dan pihak bersekutu Amerika.

Berbeza dengan masalah negara lain yang Yunus pernah join, Afghanistan mempunyai tiga masalah utama iaitu kekurangan bilangan pengundi, kekurangan warga wanita dalam pilihanraya, dan juga serangan dari pihak pengganas. Jadi kerja utama ANFREL kat situ adalah membantu kerajaan untuk mendidik warga tempatan yang boleh mengundi, mengajak wanita bekerja untuk pilihanraya, dan kasi nasihat atau guidelines untuk pasukan pengaman.

yunus-ali-afghanistanYunus bersama pengundi Afghanistan. Gambar dari youtube.
Tapi antara semua tu, masalah paling besar kat situ adalah para pengundi sering diugut oleh pengganas untuk tidak keluar mengundi sehingga ada yang ditikam dan juga ditembak.

Hasil daripada misi ANFREL dengan Yunus kat situ, telah dilaporkan bahawa Afghanistan berjaya menaikkan jumlah pengundi dan juga melibatkan ramai lagi wanita dalam pilihanraya terutama sekali dalam pentadbiran pilihanraya 2009, yeay!

Legasi Yunus diteruskan melalui persatuan NGO dan komitmen rakyat terhadap hak asasi manusia

Sayangnya pada bulan September 2010, Yusuf telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit lupus. Walaupun kesihatan dia kian merosot, namun Yunus tetap meneruskan misinya untuk membantu rakyat.


Pemergian Yunus tak dilupakan sebab kita boleh tengok legasi dia sampai ke harini. Sama seperti usaha Yunus dalam memantau pilihanraya di luar negara, isterinya Maria Chin Abdullah buat perkara yang sama tapi dalam negara. Selain daripada tu persatuan Empower jugak sibuk melakukan beberapa inisiatif untuk membantu orang fakir miskin dan juga pelbagai misi kemanusiaan yang lain.

Walaupun dia tak famous, namun pemergian Yunus amat dirasai oleh orang dalam industri hak kemanusiaan ni. Malah pada hari kematian dia pada tahun 2010 haritu, ANFREL telah menghentikan semua operasi selama sehari untuk berkabung. Boleh dikatakan sepanjang hidup dia, macam-macam dia telah sumbang kepada rakyat. Jadi cuba bayangkan kalau Yunus masih hidup sehingga ke harini.
loading...

0 Response to "Bodyguard Yasser Arafat Dulu Orang Malaysia, Pasti Anda Terkejut Jika Mengetahui Siapakah Beliau"

Post a Comment