loading...
Ketika menjadi pengetua sekolah dulu, suatu pagi seorang imam masjid yang saya kenali, menelefon saya. Katanya ada seorang budak sekolah di masjid, macam ponteng sekolah. Hari itu, hari guru 16 Mei, pelajar dan guru tidak berada dalam kelas tetapi di dewan dan padang dengan aktiviti sambutan.
Saya bergegas ke masjid yang disebut. Parking kereta agak jauh di penjuru masjid. Saya mula meninjau ke masjid. Tidak ada di balai lintang, saya menjengah ke dewan solat. Tidak ada juga. Tetapi ketika beralih ke bahagian muslimat, saya ternampak satu susuk tubuh. Saya segera ke bahagian itu dan memang ada seorang pelajar perempuan.
Dia terkejut melihat saya. Bibirnya terketar-ketar mengucap salam pada saya. Tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh, bagai seorang anak yang takutkan bapa yang garang.
Dia segera berdiri menghormati saya tetapi saya suruh duduk. Saya kenal pelajar ini kerana dia pernah naik menerima hadiah kecemerlangan di pentas.
"Kenapa ponteng sekolah? Sedangkan awak pelajar terbaik?"
"Tak ada apa cikgu," jawabnya.
Saya tidak berpuas hati kerana ini bukanlah tabiatnya. Saya terus mendesak dia bercakap benar.
Matanya mula berair bila dia memulakan bicara lagi. Saya tahu, dia akan berkata benar.
"Cikgu, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya tidak ada hadiah untuk diberikan kepada guru sempena hari guru. Ayah tak ada duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan. Ayah saya kerja jaga, emak pula sudah meninggal," katanya menangis teresak-esak.
"Cikgu, saya malu ditanya rakan apa hadiah yang dibawa pada cikgu. Lebih malu lagi bila ada yang bertanya, 'Nurul tak bawa hadiah ke?' dan itulah yang berlaku pada tahun lalu," air matanya deras mengalir di pipi dikesat dengan kain tudung separuh lusuh.
Saya turut berasa sedih dan tidak terucap kata.
Saya menghantarnya pulang ke rumah. Dalam perjalanan fikiran saya berkecamuk. Rupa-rupanya kegembiraan hari guru dan sambutannya telah mencederakan hati seorang insan pelajar. Bahkan saya yakin lebih ramai lagi pelajar yang miskin merasa gundah, resah bila tibanya hari guru.
Menjadi kelaziman hari guru 16 Mei disambut oleh pelajar dengan memberi hadiah kepada guru di samping program sekolah. Memanglah ia sesuatu yang baik, tetapi banyak ibubapa yang miskin, kurang berkemampuan, menghadapi situasi serba salah bila anak merengek meminta dibelikan hadiah, tak mahu ke sekolah tanpa hadiah.
Yang berada meminta hadiah yang lebih baik untuk mengatasi rakan. Anak yang telah besar di sekolah menengah mungkin tidak mendesak, tetapi memilih jalan lain untuk mengelak, memendam rasa. Namun, siapa yang peduli?
Maka adalah lebih baik jika hadiah kepada guru itu tidaklah diberi penekanan, high light kerana ia juga boleh disalahgunakan untuk meraih perhatian guru. Dan jika dibuat, biarlah secara tertutup. Bukan dalam kelas yang akan menyebabkan pelajar lain terasa. Maksudnya hadiah pada guru biarlah diserahkan sendiri di bilik guru. Bagi sekolah di luar bandar yang ibubapanya berpendapatan rendah, lebih-lebih lagilah perkara ini perlu diberikan perhatian.
Hakikatnya, pelajar yang baik bukan memberi hadiah kepada gurunya tetapi memberi khidmat kepada gurunya, berkerjasama dan patuh pada semua arahan.
Hari guru sebaiknya disambung dengan penzahiran rasa syukur kepada Allah, bukan dizahirkan dengan berseronok suka. Mungkin sukan, sukaneka itu baik untuk menjalinkan hubungan tetapi saya tidak nampak di mana baiknya cikgu naik melalak menyanyi di pentas, murid menyanyi, menari, bergencok. Mungkin sketsa yang mendidik, majlis tahlil, bacaan yasin, solat hajat dan sujud syukur, kenduri satu sekolah, explore race yang bersifat pelajaran dan sebagainya lebih sesuai.
Guru harus bersykur kerana ada pekerjaan, ada murid. Murid perlu bersyukur kerana ada guru yang mendidik. Ibubapa perlu bersyukur kerana ada yang mengambil tanggungjawab untuk mendidik anak mereka.
Marilah kita berubah bila menyambut sesuatu perayaan dari berseronok suka kepada penzahiran rasa syukur kepada Allah. Kepada ibubapa, minta anak menghadiahkan hari guru dengan janji untuk menjadi pelajar yang baik, taat, gigih dan berdisiplin, itu lebih bermakna kepada seorang guru dari sekotak hadiah.
Dari kisah yang saya paparkan, jangan kita melihat sesuatu dari satu sudut, dari situasi dan pandangan kita sahaja, tetapi berfikirlah dari pelbagai sudut. Baik pada kita, mungkin mencederakan orang lain. Selalulah berfikir agar kita tidak menyusahkan orang lain, sebaliknya selalulah berusaha untuk menggembirakan orang lain. Kelak di akhirat Allah gembirakan kita. Wallahu a'lam. - Abd Ghani Haron
loading...
0 Response to "Sanggup Ponteng : 'Malu Nak Ke Sekolah, Saya Tiada Hadiah Untuk Diberikan Kepada Guru'"
Post a Comment