loading...
Seorang anak Melayu/Islam Singapura yang merupakan pengasas bersama satu wadah 'crowdfunding' bagi mahasiswa memerlukan, dinobatkan Forbes sebagai antara 300 individu bawah 30 tahun yang berpotensi besar di Asia.
Tengku Ahmad Syamil, 25 tahun menerima pengiktirafan berprestij itu berkat usaha murni dan daya inovasinya dalam mengasaskan wadah biasiswa hasil pendanaan orang ramai, Skolafund, bersama Encik Syakir Hashim.
Tengku Syamil dipilih oleh Forbes untuk menyertai senarai '30 Under 30 Asia' yang dianjurkan Forbes buat julung-julung kali.
Senarai Forbes tersebut memaparkan 300 individu berpotensi berusia bawah 30 tahun daripada 10 sektor. Tengku Syamil turut diundang ke Sidang Puncak Asia Under 30 anjuran Forbes yang diadakan di Singapura.
Para individu yang tersenarai dipilih oleh para pemimpin industri berdasarkan nilai-nilai seperti kreativiti, penggunaan teknologi dan keupayaan menyesuaikan diri.
PENGIKTIRAFAN SATU RANGSANGAN MORAL
Tengku Syamil dipilih di bawah kategori usahawan sosial dan merupakan salah seorang daripada 24 individu dalam senarai Forbes tersebut yang berpangkalan di Singapura.
"Menerima pengiktirafan dari Forbes memberikan kami rangsangan moral dan merupakan satu isyarat bahawa kami harus terus berusaha bersungguh-sungguh," kata Tengku Syamil, CEO Skolafund yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan pentadbiran perniagaan.
"Ia juga mempertingkatkan kredibiliti pasukan Skolafund, dan satu hari nanti, para pelabur akan bersikap lebih serius dan menyokong kami," ujarnya lagi.
HARUNGI PELBAGAI CABARAN
Namun, kedua-dua Tengku Ahmad dan Encik Syakir terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sebelum menjayakan wadah Skolafund.
Sekitar dua tahun lalu, meskipun masih menuntut di universiti dan tanpa sebarang pengalaman bekerja, mereka berdua menyertai pelbagai pertandingan dan bertemu dengan para bakal pelabur.
Mereka berharap dapat mengumpul dana untuk menubuhkan wadah Skolafund tersebut, yang menghubungkan para mahasiswa yang memerlukan dengan para penaja yang murah hati.
Tengku Syamil berkata idea bagi menubuhkan Skolafund tercetus setelah beliau melihat catatan di Facebook oleh seorang rakan mahasiswa di UIAM yang merayu bagi bantuan kewangan, dan kemudian menerima tawaran-tawaran memberi bantuan.
Namun, usaha Tengku Syamil dan Encik Shakir itu tidak membuahkan hasil. Para pelabur tidak melihat sebarang potensi pada idea mereka itu dan tidak yakin dengan pasukan dua anak muda itu.
"Tiada sesiapa mahu mendengarkan kami kerana kami ketika itu hanyalah dua anak muda," kata Tengku Syamil.
Namun, kedua-dua belia itu tidak berputus asa. Pada Disember 2014, mereka menggunakan wang simpanan mereka sendiri untuk menggajikan para pembangun web untuk membangunkan laman web untuk mereka.
"Kami tahu ia tidak akan begitu bagus memandangkan bajet kami terhad, namun kami mahu membuktikan bahawa model kami boleh membuahkan hasil," kata Tengku Syamil.
Namun, keazaman mereka itu akhirnya membuahkan hasil tidak lama selepas melancarkan laman web mereka pada April tahun lalu.
DIBERI BIMBINGAN, PEMBIAYAAN DANA
Tengku Syamil dan Encik Syakir dipilih menyertai sebuah program 'pemangkin' di Singapura, yang memberikan bimbingan dan pembiayaan dana S$24,500 bagi syarikat-syarikat baru teknologi kewangan.
"Sebaik sahaja kami menyertai program ini, tiba-tiba ramai orang yang menunjukkan minat terhadap usaha kami dan mengalu-alukan kami ke pejabat mereka. Kami dapat bertemu secara langsung dengan para CEO," cerita Tengku Syamil.
Akhirnya, Skolafund pun ditubuhkan dan beroperasi sepenuhnya.
Setahun kemudian, Skolafund sudahpun melancarkan 42 kempen, dan 25 daripadanya berjaya membantu mahasiswa yang memerlukan.
Antara yang berjaya dibantunya ialah Razlan Ibrahim Mukhtar, 22 tahun, yang hilang daya penglihatannya pada usia 10 tahun. Dana hampir RM6,000 (S$2,033) berjaya dikumpulkan dari orang awam, sebelum syarikat telko Malaysia, Maxis, menerusi Skolafund, menawarkannya biasiswa RM300,000 (S$101,570) untuk menuntut di Universiti South Australia pada Jun tahun lalu.
(Gambar: Skolafund.com)
RANCANG LANCAR SKOLAFUND DI SINGAPURA, INDONESIA PULA
Meskipun Skolafund hanya disediakan di Malaysia sekarang ini, ia merancang untuk melancarkannya laman webnya di Singapura menjelang Julai ini.
Tidak seperti di Malaysia di mana fokusnya ialah mengumpul dana bagi yuran universiti, kempen-kempen di Singapura akan tertumpu kepada mengumpul dana untuk menjalani program bekerja sambil belajar di luar negara, atau kegiatan luar negara seperti program pertukaran dan projek kemasyarakatan.
Demikian menurut Tengku Syamil, yang diterima masuk ke sebuah universiti di sini namun memilih untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.
Skolafund sudah menerima sekitar 20 permintaan pembiayaan dana dari para pelajar dan ibu bapa mereka di sini.
Para pelajar yang memerlukan boleh mendaftarkan diri untuk inisiatif tersebut tanpa sebarang bayaran, dan pasukan Skolafund akan mengesahkan permohonan mereka itu.
Semasa tempoh berkempen, yang dihadkan kepada selama 30 hari, pasukan Skolafund akan membantu menguar-uarkan kempen mengumpul dana tersebut di lelaman media sosial menerusi individu-individu berpengaruh atau "influencers".
Sekiranya sasaran ditepati, Skolafund memindahkan dana yang dkumpulkan itu kepada sekolah berkenaan dan kepada pelajar sebagai elaun.
Jika tidak, dana yang dikumpulkan itu akan dipulangkan semula dan para penaja boleh memilih sama ada memberikan pinjaman atau menyumbang kepada satu lagi kempen mengumpul dana untuk pelajar tersebut.
Skolafund mengambil komisyen sebanyak 5 peratus bagi setiap kempen yang berjaya dijalankan.
(Gambar kedua, bawah kiri): Pasukan Skolafund.com, Faruq Rasid (kiri), Tengku Ahmad Syamil, Syakir Hashim dan Wildan Zulfikar. (Gambar: Tengku Ahmad Syamil)
Selain Tengku Syamil dan Encik Syakir, pasukan itu terdiri daripada dua lagi individu - Encik Wildan Zulfikar, 21 tahun, dan Encik Faruq Rasid, 25 tahun. Keempat-empat mereka masih menuntut di universiti - dua daripada mereka masih menuntut di Malaysia dan dua lagi di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Tengku Syamil berkata beliau ingin menumpukan perhatian kepada Skolafund sepenuh masa selepas tamat pengajian pada 2017.
Tengku Syamil berkata pasukannya juga mahu melancarkan inisiatif itu di Indonesia.
"Pokoknya, kami mahu Skolafund menjadi wadah pembiayaan pendidikan lebih tinggi yang terbaik di Asia. Dalam masa lima tahun, kami amat berharap dapat membangunkan lebih banyak cara bagi para pelajar menerima dan menguruskan dana mereka untuk universiti-universiti," ujarnya.
loading...
0 Response to "Anak Melayu Muda Masuk senarai Forbes, bantu siswa Malaysia capai impian"
Post a Comment