Apa lagi Melayu mahu sebenarnya?

loading...

Bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana ia boleh menyebabkan akidah orang Melayu tergugat.

Kanak-kanak bukan Islam tidak boleh makan di kantin sekolah pada bulan Ramadan kerana anak Melayu akan “terliur” dan terganggu puasanya.

Gadis bukan Islam tidak boleh berpakaian menjolok mata kerana berkemungkinan menyebabkan pemuda Melayu “tidak tahan”.

Sedangkan hampir di setiap kawasan perumahan terdapat masjid atau surau.

Setiap hari selepas sembahyang subuh, tazkirah atau kaset ceramah mengajak orang Melayu agar beriman dan membuat kebaikan dimainkan dengan kuat sehingga kedengaran walaupun dua kilometer jauhnya.

Akan tetapi orang Melayu masih lemah imannya. Jika terlihat sahaja perkara “mungkar”, keimanan mereka akan tergugat.

Apa dah jadi dengan orang Melayu pada hari ini?

Mengapa begitu lemah sekali keimanan orang Melayu walaupun mereka merupakan majoriti di negara ini?

Dua puluh tahun lalu, tidak begini orang Melayu di negara ini. Tidak tahulah di mana silapnya.

Mungkin juga kerana begitu ramai “ustaz separuh masak” menguasai jabatan kerajaan pada hari ini.

Konflik diri

Seorang teman lama menulis di laman Facebook semalam: “Tengok waze KL jammed. Expected. Melayu pantang dapat gaji. Dia sanggup keluar walaupun puasa. Tapi bila tengah kerja dia akan balik awal atau buat kerja slow, alasan puasa. Melayu.”

Tepat sekali apa yang diungkapkan. Begitulah realiti yang berlaku.

Di bulan Ramadan, ramai sekali orang Melayu yang malas bekerja kerana alasan berpuasa.

Produktiviti “hancur” walaupun mereka sedar yang majikan membayar gaji sama dan malahan dapat bonus untuk mereka beraya selepas sebulan berpuasa.

Namun apabila keluar untuk bershopping raya, tenaga orang Melayu akan “bertambah” walaupun berpuasa. Luar biasa kekuatan mereka.

Mereka mempunyai kekuatan untuk bershopping dari pagi sampai ke tengah malam.

Tak percaya? Pergilah ke ibu kota pada hujung minggu di bulan Ramadan.

Ketika berpuasa, tidur sahaja dari pagi sampai ke petang sehingga seorang teman mengeluarkan istilah “berpuasa pun Melayu nak tipu tuhan.”

Ketika bekerja, mereka tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad yang menyuruh umatnya agar bekerja seperti akan hidup seribu tahan lagi.

Apabila tidak berjaya, orang Cina disalahkan kerana dikatakan menindas. Kerajaan akan disalahkan kerana tidak membantu Melayu.

Bila timbul hal kecil seperti terlihat “lurah faraj” seorang ahli sukan wanita Islam, heboh satu negara.

Akan tetapi apabila isu besar seperti rasuah dan penyelewengan terang-terangan di hadapan mata, senyap semuanya. Seolah-olah rasuah itu dihalalkan Islam.

Dan selepas membaca tajuk artikel ini tanpa membaca keseluruhan isi, orang Melayu akan tuduh penulis anti Melayu dan anti Islam.

Apa lagi yang Melayu mahu sebenarnya? 
loading...

0 Response to "Apa lagi Melayu mahu sebenarnya?"

Post a Comment