Elak Kahwini Gadis Negeri Sembilan, Kalau Bercerai Tinggal Sehelai Sepinggang? Baca Fakta Yang Betul

loading...

Isu sebegini yang sering disalah tafsir oleh ramai orang iaitu pemberian harta pusaka dan kelebihan kepada wanita. Biasa tak kita dengar ayat begini,

“Jangan kahwin dengan perempuan Negeri Sembilan. Nanti kalau bercerai tinggal sehelai sepinggang sahaja. Semua harta akan jatuh ke tangan wanita. Lelaki pula tidak mendapat apa-apa.”

Isu ini menjadi igauan ngeri kepada banyak pihak. Sehingga ada yang menyalahkan adat perpatih tidak Islamik dan sebagainya. Sebenarnya, pemberian pusaka yang disebut itu adalah berkaitan dengan tanah adat. Tanah adat merupakan tanah yang diwariskan turun temurun dari nenek moyang kepada generasi terkini.

Kenapa Tanah Adat Diberi Kepada Perempuan?

Tanah adat ini diberikan kepada wanita adalah semata-mata untuk menaikkan taraf serta menjaga kehormatan dan maruah wanita itu sendiri. Maksudnya, walau semiskin mana pun seseorang wanita itu, mereka tetap tidak akan merempat kerana sudah tersedia tanah adat untuk diwariskan kepada mereka. Tanah itulah sebagai penyambung rezeki mereka demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kenapa Lelaki Diabaikan?

Tidak. Sebenarnya lelaki tidak diabaikan. Anak lelaki dianggap hebat serta mampu mandiri. Pernah dengar lagu Gadis Jelebu nyanyian Waris? Perhatikan liriknya.

“Jangan salah anggap kenapo lobihkan porompuan

Sobab laki buleh hidup kalau campak dalam hutan”

Itulah yang diistilahkan. Lelaki, secara umumnya mereka adalah orang yang kuat. Mereka boleh hidup berdikari serta meneruskan mencari rezeki biarpun dalam apa juga keadaan.

Selain daripada itu, wanita juga dianggap hebat apabila di dalam Adat Perpatih, keturunan dikira melalui nasab ibu. Ini bermakna, seorang anak akan mewarisi suku daripada sebelah ibu bukan daripada sebelah bapa.

Prinsip Adat Perpatih juga ada menyebut, Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri. Hal ini bermaksud, selepas berkahwin, lelaki akan meninggalkan desa mereka dan berhijrah ke tempat isteri dan mengusahakan ladang atau tanah milik keluarga sebelah isteri.



Undang Luak Johol

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah, sejak tahun 1723, inilah kali pertama Undang Luak Johol dilantik bukan atas sebab kematian tetapi atas sebab perlucutan jawatan Undang yang terdahulu.

Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol ke-15, menggantikan Dato’ Muhd Jan bin Abdul Ghani yang dipecat atas kesalahan melanggar salah laku adat.

Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol ke-15 dan menghadap ke bawah duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dilangsungkan di Istana Besar Seri Menanti pada 15 Disember tahun lalu.

Uniknya sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, di mana institusi undang yang empat iaitu Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan jajahan masing-masing. Undang yang empat juga bertanggung jawab melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Selepas perlantikan Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dan permasyhurannya diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, satu istiadat pertabalan akan dilakukan. Istiadat pertabalan ini dinamakan sebagai kerjan.



Apa Itu Kerjan?

Kerjan adalah satu sebutan adat yang bermaksud pertabalan. Kerjan diadakan selepas seseorang itu dimasyhur atau ditabalkan sebagai undang. Sistem undang yang diguna pakai sekarang ini merupakan satu sistem demokrasi penuh yang unik.

Segala perlantikan dan keputusan adalah mengikut keputusan majoriti. Anak buah melantik Buapak. Buapak melantik Lembaga. Lembaga melantik Dato’ Undang. Kemuafakatan Dato’ Undang inilah akan melantik Yang Dipertuan Besar. Sistem ini telah digunakan sejak zaman-berzaman.

Istiadat kerjan ini dimulakan dengan menurunkan alat kebesaran. Penurunan alat kebesaran adalah satu tanda kebesaran bagi setiap penyandang undang luak. Alat kebesaran ini diwarisi daripada undang luak pertama, Dato’ Setiawan.

Yang Teramat Mulia Dato’ Undang beserta datuk-datuk adat yang berkenaan berangkat ke perigi godang untuk melaksanakan istiadat Mandi Berlangir atau bersiram. Mandi Berlangir adalah satu tradisi wajib bagi istiadat kerjan kepada sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan.

Selepas itu Yang Teramat Mulia Dato’ Undang berangkat pula ke makam Gobah. Di Makam Gobah ini akan diadakan Istiadat Menaikkan Daulat. Gobah adalah Undang Luak Johol yang ke-6 dan telah memerintah selama 20 tahun (1820 –1840).  Adat kebiasaan yang dijalankan ialah istiadat tahlil dan menepung tawar kepada sesiapa juga penyandang Dato’ Undang.

Kemudian Yang Teramat Mulia Dato’ Undang pulang semula ke rumah Telapakan Ibu Waris Johol di Kampung Tanggai dengan menaiki kereta kuda. Pada petangnya, satu istiadat menjunjung kasih dijalankan, yang mana semua datuk adat akan menghadap dan menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Johol.

Dengan berakhirnya istiadat kerjan itu, maka terzahirlah sudah Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15.

Sambutan yang dirancang selama lima hari lima malam melibatkan pelbagai pihak termasuk anggota penguatkuasa, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan banyak lagi. Paling mengujakan apabila kenduri rakyat dengan hidangan istimewa iaitu  daging kerbau dijamu kepada seluruh penduduk sekitar selama lima hari.



SENARAI DATO’ UNDANG LUAK JOHOL

Dato’ Setiawan I
Dato’ Setiawan Rambut Pajang II
Dato’ Setiawan III
Dato’ Rambutan Jantan
Dato’ Nuri
Dato’ Abu Bakar (Gobah)
Dato’ Eto
Dato’ Wan Omar
Dato’ Kamat bin Haji Sulaiman
Dato’ Haji Ab Manap bin Tolok
Dato’ Haji Abd Majid Wahid
Dato’ Haji Abd Rahman bin Mohd Som
Dato’ Haji Abdul bin Ali
Dato’ Haji Mohd Jan bin Abd Ghani
Dato’ Haji Muhammad bin Abdullah
Kerjan Dato’ Undang Luak Johol yang ke-15 telah diadakan pada 23 hingga 27 Mac yang lalu dengan sambutan yang penuh meriah. Mudah-mudahan, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah sentiasa di bawah naungan Allah sentiasa.

Sumber/ Foto: Abdul Muiez Ruslee 
loading...

0 Response to "Elak Kahwini Gadis Negeri Sembilan, Kalau Bercerai Tinggal Sehelai Sepinggang? Baca Fakta Yang Betul"

Post a Comment