Makanan guna nama ‘anjing’ kelirukan orang Islam, kata Fomca

loading...


PETALING JAYA: Pengusaha restoran dan makanan perlu lebih sensitif dalam pemilihan nama menu atau produk bagi mengelakkan umat Islam keliru, kata Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) tidak memberikan sijil halal kepada rangkaian francais, Auntie Anne kerana salah satu produknya dinamakan sempena nama anjing, “pretzel dog”.


“Nama-nama seperti dog (anjing), babi, bir, itu semua perlu dielakkan. Kalau dibiarkan akan menimbulkan kekeliruan.

“Jakim semestinya perlu berhati-hati dalam memberikan sijil halal kepada syarikat pengeluar makanan agar tidak timbul isu selepas sijil halal diberikan nanti,” katanya kepada FMT hari ini.
Yusof berkata, pemberian sijil halal bukan dilihat daripada aspek kandungan sahaja, tetapi secara menyeluruh.

“Ini termasuk iklan, kebersihan dan nama produk makanan tersebut perlu dilihat Jakim sebelum diluluskan,” katanya.

FMT hari ini melaporkan seorang eksekutif yang bertanggungjawab terhadap kualiti dan jaminan halal Auntie Anne, Farhatul Kamilah Mohamed Sazali menerusi Facebooknya berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan panel Jakim untuk cadangan nama baharu yang dikemukakan mereka.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, nama produk yang kurang sesuai akan mengundang pelbagai persepsi tidak baik kepada masyarakat.

Beliau berkata, pengusaha rangkaian francais itu perlu menjaga sensitiviti orang Melayu, jika mahu memenangi hati pelanggan Islam.

“Syarat-syarat yang ditetapkan (Jakim) itu selari ajaran Islam yang tidak mengelirukan dan boleh membawa persepsi tidak baik. Kalau dibawa kepada nama ‘anjing’ itu tidak sesuai.
“Apa yang dilakukan Jakim itu tepat. Walaupun makanan halal, tetapi nama kurang sesuai juga tidak baik. Pengguna yang was-was disaran tidak membeli makanan tersebut,” katanya.
loading...

0 Response to "Makanan guna nama ‘anjing’ kelirukan orang Islam, kata Fomca"

Post a Comment