loading...
PAKAR NEFROLOGI BERI AMARAN TENTANG PENGGUNAAN UBAT PENAHAN SAKIT.AMBIL BILA PERLU SAJA
Biarpun kesihatan setiap organ dalaman setiap tubuh manusia dianggap penting, masih ramai kalangan umum yang mengambil ringan atau terlepas pandang risiko dan kesan sekiranya mengalami kerosakan buah pinggang.
Lebih malang, kerosakan organ itu bukan sahaja mengakibatkan tahap kesihatan dan fizikal penghidapnya terjejas, malah turut membebankan pesakitnya kerana terpaksa berbelanja besar menanggung kos rawatan yang tinggi.
Setiap rawatan mencuci darah atau lebih dikenali dengan proses hemodialisis memerlukan pesakit menanggung kos rawatan purata yang dianggarkan sebanyak RM150 bagi setiap sesi.
Mahu tidak mahu, pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan tersebut tiga kali seminggu bersamaan 12 kali dalam tempoh sebulan, bermakna penghidap penyakit itu terpaksa menanggung kos rawatan sebanyak RM1,800 sebulan atau RM21,600 setahun sepanjang hayat mereka.
Cuba bayangkan sekiranya seseorang pesakit itu tidak dilindungi insurans perubatan atau memiliki pendapatan yang hanya sekadar cukup makan, lebih malang sekiranya langsung tidak mempunyai sumber rezeki.
Sudah pasti keperitan itu bukan sahaja dirasai secara fizikal, malah turut membeban serta menyeksa mental pesakit terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.
Meskipun begitu, masih ramai pihak yang prihatin tentang permasalahan itu terutamanya membabitkan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat termasuk pusat perubatan swasta dan kerajaan yang sentiasa komited menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penghidap penyakit kronik itu.
Baru-baru ini, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Buah Pinggang 2012 peringat Negeri Sembilan di sini.
Program tersebut merupakan kerjasama antara HTJS dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Pusat Pemindahan Organ Kebangsaan.
Menurut Pakar Perunding Nefrologi HTJS, Datuk Dr. Wan Shaariah Md. Yusuf, tujuan utama program tersebut adalah bagi meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan penjagaan kesihatan khusus terhadap organ buah pinggang.
''Kita berharap program itu dapat mendidik serta memupuk kesedaran orang ramai terhadap betapa pentingnya mengutamakan penjagaan organ tersebut.
''Pelbagai maklumat telah disampaikan kepada umum berhubung kesan dan risiko yang bakal dihadapi jika seseorang itu mengalami kerosakan buah pinggang kronik," katanya di sini baru-baru ini.
Jelasnya, menerusi program tersebut masyarakat turut didedahkan tentang fungsi serta peranan organ tersebut dalam sistem tubuh manusia selain punca dan simptom penyakit itu.
''Saya yakin semua maklumat ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat pada masa akan datang," ujarnya.
Tambah Dr. Wan Shaariah, sambutan tahun itu turut memfokuskan terhadap usaha mempromosikan pemindahan buah pinggang.
''Selain mendidik, kita ingin menggalakkan orang awam supaya mendaftar sebagai penderma organ ini.
''Seterusnya memberikan promosi berkaitan polisi pendermaan buah pinggang khususnya dalam kalangan generasi muda sekali gus mengurangkan risiko dan kadar kematian membabitkan penyakit buah pinggang di negara ini," katanya.
Katanya, antara pengisian sambutan termasuk program pengesanan awal menerusi pemeriksaan di kaunter khas yang dibuka di Seremban Parade dekat sini.
''Inisiatif itu bertujuan menggalakkan orang ramai agar menjalani pemeriksaan saringan penyakit buah pinggang bagi menentukan status dan tahap sama ada mereka berisiko tinggi menjadi salah seorang penghidap penyakit kronik ini," ujarnya.
loading...
0 Response to "Pakar Nefrologi : Ubat Tahan Sakit Menyebabkan Kerosakan Buah Pinggang"
Post a Comment