TMJ Dedah FELDA Guna Wang Orang Miskin Untuk Individu Tertentu


Tunku Ismail yang lantang menyuarakan pendapatnya kali ini membidas salah guna dan pembaziran wang peneroka Felda.


KUALA LUMPUR: Selang beberapa jam perdana menteri memuji kejayaan Felda semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuduh program itu sudah tersasar daripada tujuan asal Felda untuk membasmi kemiskinan, sebaliknya wang peneroka disalah guna bagi kepentingan individu tertentu.
“Pada hari ini, wang yang sepatutnya digunakan oleh peneroka telah dibelanjakan secara sewenang-wenangnya untuk kontraktor tertentu dalam Felda dan juga membolehkan beberapa individu yang memegang jawatan tinggi dalam Felda membuat wang.
“Ini adalah kes yang jelas penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin,” katanya dalam wawancara yang diterbitkan di laman Facebook pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai persaingan antara pasukan JDT dan Felda.
“Mana saya boleh lawan, ini pasukan Datuk Seri Najib,” katanya sebelum menambah, “gurau”.

Kritikan Tunku Ismail itu dibuat pada hari sama Najib memuji kejayaan Felda dalam menambah baik kehidupan peneroka.
“Mobiliti sosial juga telah membolehkan 50,000 peneroka berpindah ke Lembah Klang dan bilangan yang boleh menjadi lebih tinggi,” katanya di Putrajaya semalam.
Tunku Ismail berkata berlainan dengan Felda dan agensi kerajaan dengan pasukan bola sepak sendiri, JDT tidak menggunakan dana milik rakyat.
“Saya bangga kerana saya tidak menggunakan wang kerajaan yang sepatutnya milik rakyat untuk membina sebuah kelab bola sepak. Saya tidak membina stadium menggunakan wang peneroka atau wang dari kontraktor yang melobi bagi mendapatkan projek di dalam Felda.
“Ini adalah kes yang jelas penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin.
“Pada saya, PDRM dan ATM pun tidak patut ada pasukan bolasepak kerana pasukan-pasukan ini juga menggunakan dana kerajaan,” tambahnya.
Beliau menasihati Najib memperbetulkan keadaan ini.
“Wang kerajaan mesti digunakan untuk kebaikan rakyat dan keutamaan perlu diberikan kepada rakyat.”

0 Response to "TMJ Dedah FELDA Guna Wang Orang Miskin Untuk Individu Tertentu"

Post a Comment