Gilap bakat pemanjat ‘Ipoh’ jadi Spiderman tawan KLCC

loading...

Jangan bunuh kreativiti dan semangat 8 anak muda itu, sebaliknya mereka perlu dibimbing agar dapat menyalurkan tenaga serta bakat mereka ke arah sesuatu yang lebih positif.


Oleh Lokman Mustafa
Saya ada satu soalan:
Adakah kita benar-benar marah dengan lagak ngeri 8 remaja memanjat papan tanda “Ipoh” tempoh hari?
Ada yang berkata tindakan mereka mungkin menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan di bawah.
Maka fikir saya, sekiranya binaan tersebut runtuh akibat berat badan mereka (kita anggarkan dalam 40-60kg seorang) tentunya kemalangan disebabkan struktur binaan tidak kukuh atau struktur tanah yang lemah.
Tak patut mereka sahaja yang dipersalahkan sekiranya struktur binaan musnah, sedangkan papan tanda tersebut turut dipanjat pihak penyenggaraan yang bertanggungjawab menyelenggaranya.
Ada yang berkata mereka tak seharusnya membahayakan diri sendiri.
“Kita sayangkan mereka,” tulis ramai pengguna di FB.
Maka hujah tersebut juga perlu digunakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar had laju, tidak memakai tali pinggang keledar serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal. Sedarkah kita kadar kematian jalan raya di negara ini jauh lebih tinggi berbanding negara lain di benua Asia?
Jadi soalan ke-2 saya:

Adakah sebenarnya kita cemburu melihat aksi mereka yang ternyata menjadi buah mulut ribuan (atau mungkin jutaan) rakyat Malaysia?
Lapan anak muda itu memiliki kemahiran dan keberanian luar biasa. Mereka juga mempunyai “passion” melaksanakan perancangan mereka dengan teliti.
Itu perlu kita puji.
Sekiranya bakat mereka digilap, mungkin mereka kelak mampu menempa nama sepertimana Alain Robert atau Spiderman yang tersohor di serata dunia kerana kemampuan memanjat binaan tinggi termasuk Taipei 101 dan Burj Khalifa tanpa tali keselamatan.
Adakah kita mencemuh warga Perancis berusia 54 tahun itu yang mengibar Jalur Gemilang di kemuncak KLCC pada 2009, sepertimana kita mencemuh 8 remaja yang memanjat papan tanda Ipoh?
Secara peribadi, saya yang mengalami vertigo (seperti Alain Robert) amat kagum dengan 8 anak muda itu.
Ada di kalangan remaja kita yang cenderung menyertai pertandingan menyanyi. Ada pula yang dianugerahkan otak cerdik sehingga dihantar belajar ke luar negeri.
Masing-masing diberi keistimewaan tersendiri. Mungkin kita harus belajar menerima kepelbagaian remaja generasi baharu kita. Berbanding menghamburkan caci maki, mungkin mereka memerlukan empati.
Jangan dibunuh kreativiti dan semangat anak muda itu. Sebaliknya mereka perlu dibimbing agar dapat menyalurkan tenaga serta bakat mereka ke arah sesuatu yang lebih positif.
Pihak berwajib perlu menyediakan ruang dan peluang agar sukan lasak yang mereka gemari dapat dilakukan di negara ini.
Cuma, tanya mereka dahulu sama ada hobi atau “passion” mereka itu mendapat restu ibu bapa?
Itu soalan terakhir saya dan mungkin yang paling utama.
Lokman Mustafa adalah pembaca
loading...

0 Response to "Gilap bakat pemanjat ‘Ipoh’ jadi Spiderman tawan KLCC"

Post a Comment