Kadar Parkir kereta di KL naik 150% bagi Mengelakkan Kesesakan Lalulintas

loading...

Kadar tempat letak kereta milik DBKL di beberapa lokasi perniagaan di KL meningkat bermula hari ini, menurut laporan.



PETALING JAYA: Sila bersedia untuk membayar tiga kali ganda lebih mahal berbanding sebelumnya bila anda meletakkan kenderaan di pusat perniagaan yang sama di Kuala Lumpur, bermula hari ini.

The Star melaporkan kadar tempat letak kereta di kawasan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di beberapa pusat perniagaan terkemuka di ibu kota akan dinaikkan hingga 150%, berkuat kuasa hari ini.

Jika sebelum ini anda dikenakan 80 sen bagi sejam pertama tempat letak kereta, kini kadarnya ialah RM2, sementara jam kedua dan seterusnya mengenakan caj RM3.
Kawasan yang terbabit dalam peningkatan kadar itu ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Sr Ismail dan Bangsar, menurut laporan itu dan menambah kenaikan kadar itu akan dikuatkuasakan secara berperingkat dari sekarang sehingga 1 Ogos.

Kadar di tempat letak kereta DBKL di luar pusat perniagaan di ibu kota, termasuk di Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak juga dijangka meningkat, menurut laporan itu.

Datuk Bandar KL Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata kepada akhbar itu langkah berkenaan “satu-satunya cara” untuk mengurangkan kesesakan dalam bandar dan menggalakkan berkongsi kereta, dan bukan menyasarkan kepada mengaut keuntungan.
Beliau berkata kira-kira 50,000 kereta baharu didaftarkan di KL setiap bulan dan pelaksanaan peningkatan kadar tempat letak kenderaan itu diharap dapat menggalakkan sekurang-kurangnya sejuta pemandu solo, mempertimbangkan kaedah menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke pejabat.

“Jika anda dapat mengelak sejuta kereta memasuki pusat bandar, anda akan dapat menikmati jalan raya lapang seperti ketika sambutan Hari Raya minggu lalu.
“Ini bermakna semua orang dapat pulang ke rumah lebih cepat, meluangkan masa berkualiti dengan keluarga dan buat apa yang mereka suka,” kata Amin kepada akhbar itu.
Beliau berkata maksimum had dua jam di tempat kereta yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor awal bulan ini, belum boleh diguna pakai.

Free Malaysia Today
loading...

0 Response to "Kadar Parkir kereta di KL naik 150% bagi Mengelakkan Kesesakan Lalulintas"

Post a Comment